Categories: HiburanTrending

Usah Berharap Kepada Anugerah & Populariti, Bell Ngasri Ingatkan Bakat Baharu Agar Utamakan Kualiti Hasil Kerja

Pelakon dan pelawak tersohor, Bell Ngasri menasihati pendatang baharu dalam industri seni agar tidak terlalu mengejar populariti dan anugerah.

Sebaliknya, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri memberitahu bahawa mereka perlu mengutamakan kesungguhan dalam hasil kerja mereka.

Menurut laporan Harian Metro, Bell mengingatkan pelakon baharu agar mempunyai keikhlasan dan disiplin yang tinggi dalam melakukan apa-apa kerja.

“Apa yang sudah saya menang itu (anugerah) adalah nasib dan rezeki yang ditetapkan Allah.

“Tapi, kepada bakat baharu apa yang boleh saya ingatkan, dalam apa saja kerja buatlah dengan ikhlas,  jaga disiplin dan bersungguh-sungguh.

“Paling kurang itulah benda-benda yang perlu diutamakan oleh kalian terlebih dulu.

“Insya-Allah orang boleh nampak dan boleh menghargainya suatu masa nanti,” jelasnya.

Menurut Bell, dia yang tidak mempunyai kelab peminat seperti selebriti lain hanya memberi fokus kepada kualiti hasil kerjanya tanpa berharap kepada anugerah.

“Jangan cuba fikirkan untuk raih anugerah dan dapatkan sesuatu. Tapi, kita buat saja dulu sesuatu benda itu (kerja) secara bersungguh-sungguh.

“InsyaAllah mungkin akan ada nikmat yang Allah berikan nanti.
 
“Apapun, moga-moga semua yang kita buat dengan ikhlas itu orang nampak, dan secara tidak langsung mungkin suatu masa nanti kita akan dihargai,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie