Utamakan Kerjaya Berbanding Jodoh, Dah 6 Tahun Nabila Razali Tak Bercinta

Penyanyi Nabila Razali masih belum mempunyai kekasih hati kerana ingin mengutamakan kerjaya dalam bidang seni.

Menurut gadis yang mesra disapa Bella, perjalanannya di dalam industri bukan suatu perkara yang mudah dan sayang untuk dilepaskan jika sudah terikat dengan hubungan percintaan.

“Saya masih fokus dengan kerjaya. Sebab awal niat masuk industri ini adalah untuk teruskan kerjaya nyanyian. Sebab ketika saya bermula bukannya senang, perjalanan saya pun tidaklah semudah orang lain.

“Saya pasti ada yang lebih susah lagi daripada saya, cuma untuk saya sendiri, sayang untuk tinggalkan karier ni buat masa sekarang.

“Sebab banyak benda yang saya lalui sebelum ini, ada banyak lagi goal yang saya belum capai dalam industri seni ini,” katanya kepada XTRA.

Jelas Bella, hampir enam tahun dia tidak menjalin sebarang hubungan cinta kerana ingin fokus pada kerjaya.

“Ada yang cuba untuk mengenal hati budi saya, namun ia tidaklah sehingga ke peringkat yang serius kerana saya terlalu sibuk akan tuntutan kerja,” katanya.

Nabila ditemui pada sidang media pelancaran lagu Aku Terluka yang berlangsung di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Muzik video Aku Terluka boleh ditonton di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment dan boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, KKBOX, Deezer dan Youtube Music  bermula 7 Disember ini.

 

Halimey Zamal