Uyaina Arshad Buka Mulut Isu Palestin, Lantang Beri Pesanan Pada Golongan ‘Neutral’ – “Selagi Mereka Tak Bebas, Kita Tak Bebas”

Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad meluahkan rasa berangnya terhadap golongan yang masih bangga menyokong golongan Israel yang bertindak kejam terhadap Palestin.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Uyaina kelihatan sangat lantang ketika memberikan penerangan kepada golongan yang menyokong Zionis dan neutral terhadap situasi yang berlaku di Gaza, Palestin kini.

Malah, Uyaina juga turut meluahkan rasa kecewa terhadap golongan yang masih lagi tidak memperjuangkan hak kebebasan warga Palestin meskipun sudah dipamerkan dengan pelbagai video kekejaman di rata-rata media sosial.

“Untuk orang Malaysia yang menyokong Israel ataupun yang neutral, video ni adalah untuk kau. Kau tahu kan yang Malaysia pun baru je merasa 66 tahun kemerdekaan selepas dijajah British.

“Tahu tak betapa susahnya nenek moyang kita untuk perjuangkan kemanisan kemerdekaan tu. Sekarang ni, Israel tu penjajah. Sama seperti setiap negara yang dijajah kita nak kemerdekaan, kebebasan. Begitu juga dengan Palestin.

“I dont condemn Hamas. Hamas tu pejuang tanah air mereka. Hamas berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Palestin. Demografi dia mungkin tak sama, tapi konteks dia sama.

“Kita dengan Palestin ni sama, beza dia cuma kita pernah dijajah tapi mereka sedang dijajah. Dahlah dijajah hak kemanusiaan asas pun tak bagi. Punca air disimen, makanan tak cukup, nak kibar bendera sendiri pun satu jenayah.

“Belum cakap lagi bentuk-bentuk jenayah Israel terhadap Palestin sampai subuh esok tak habis. Mereka tu ada ‘skin bank’ yang menyimpan kulit orang Palestin untuk kegunaan mereka,” katanya.

Dalam perkongsian tersebut Uyaina sempat mengingatkan orang ramai untuk sedar bahawa rakyat Malaysia pernah menerima nasib yang sama dan meminta mereka kenang kembali sejarah kemerdekaan negara suatu ketika dahulu.

“Sebelum korang nak sokong Israel, ataupun jadi neutral tentang benda ni, tengok balik sejarah negara korang sendiri. Betapa teruknya orang Melayu ditindas, orang Cina dihina penjajah Jepun.

“Tak kisah kita ni orang Melayu ke, Cina ke, orang India ke, Bumiputera ke, penjajah tetap penjajah. Dan perjuangan orang Palestin ni adalah perjuangan kita bangsa yang pernah dijajah. Selagi Palestin tak bebas, kita semua tak bebas,” jelasnya.

 

Perkongsian tersebut bagaimana pun telah pun dipadam oleh pihak Instagram namun dia turut berkongsi perkara yang sama di aplikasi X.

Namun, Uyaina tidak putus asa dengan tindakan yang dilakukan oleh Instagram sebaliknya dia terus semangat untuk perjuangkan nasib saudara Islam yang berada di Palestin.

Fatin Nurain