[VIDEO] Keadaan Kritikal Akibat Jangkitan Kuman Merebak, Ramai Titip Doa Agar Ainul Mardhiah Cepat Sembuh

[VIDEO] Keadaan Kritikal Akibat Jangkitan Kuman Merebak, Ramai Titip Doa Agar Ainul Mardhiah Cepat Sembuh

Sebelum ini, nama Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin pernah menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia kerana menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor yang tumbuh di dalam mulutnya.

Terkini, dimaklumkan keadaan Ainul berada dalam keadaan sangat kritikal dan agak tenat serta sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Berita duka itu disampaikan oleh ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya petang tadi.

“Bismillahirahmanirahim. Ainul berada di PICU sekarang. Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ni agak kritikal dan tenat.

“Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni.

Menurut ibu Ainul, anaknya berada dalam keadaan yang sangat tidak bermaya serta muntah dan cirit birit, sebelum dikerjakan ke hospital untuk di bawa ke unit kecemasan.

Tambah ibunya lagi, pihak doktor mengesahkan Ainul berada dalam keadaan tenat kerana jangkitan kuman telahpun merebak ke seluruh badannya.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor memaklumkan jangkitan sudah merebak ke seluruh tubuh. Satu badan dipenuhi dengan wayar.

“Walaupun Ainul duduk rumah je, jaga kebersihan pun kalau nak jadi memang akan jadi. Virus ni jahat betul kacau anak mama sampai jadi macam ni. Ainul tidur dulu ya sayang, nanti Ainul dah bangun kita main sama-sama lagi,” ujarnya sayu.

Sementara itu, Erwani sempat menitipkan pesanan kepada semua untuk sentiasa berwaspada.

“Ingat ya semua. Sekarang, virus sudah dekat mana-mana. Walaupun Ainul duduk rumah saja, jaga kebersihan pun, kalau nak jadi memang akan jadi,” katanya.

Sekadar info, kisah penderitaan Ainul Mardhiah yang menghidap ketumbuhan dalam mulut seberat 200 gram mendapat perhatian ramai termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang turut sama membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdon (UK).

Ketika itu, Ainul berusia sembilan bulan dan pembedahan dilakukan pada Jun 2019.

Sumber: Instagram Erwani, Berita Harian

Aqilah Paharuzi