[VIDEO] “Ngeri Tengok Tangan Terkepak” – Cik Manggis Masuk Hospital Gara-Gara Cedera Ketika ‘Surf Skating’ Pada Hari Ulang Tahun Perkahwinan

Anggota Kumpulan DeFam, Cik Manggis mengalami kecederaan pada tangan kirinya ketika sedang bermain ‘surf skating’.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Cik Manggis memuat naik sebuah video yang memaparkan detik-detik kejadian itu berlaku ketika bermain ‘surf skating’ bersama suaminya, Syazmin Firdaus Aminuddin.

Dalam perkongsian sama, Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin dilihat sedang menerima rawatan dengan tangan kirinya dipakaikan anduh lengan.

Namun, insiden itu telah berlaku pada hari ulang tahun perkahwinan Cik Manggis dan suami iaitu semalam.

“Happy sk8th Anniversary!!! It was meant to be,” tulisnya di ruangkan kapsyen.

Walau bagaimanapun, penyanyi dan pelakon itu tidak memberitahu secara terperinci mengenai kecederaan yang dialaminya.

Manggis dan Syazmin mula menceburkan diri dalam sukan ‘surf skating’ ini semenjak April lalu selepas dijangkiti Covid-19.

Pasangan ini juga dilihat aktif bermain ‘surf skating’ apabila sering memuat naik perkongsian mengenai sukan tersebut di media sosial.

Menjengah ke ruangan komen, keadaan terkini Cik Manggis itu sedikit sebanyak meresahkan peminatnya yang bimbang akan keadaan tangan penyanyi itu sekaligus meluahkan rasa tercengang dan takut melihat insiden tersebut.

Ekoran insiden yang berlaku, rakan selebriti dan netizen turut mendoakan kesejahteraan dan memberi ucapan sempena ulang tahun perkahwinan kepada Cik Manggis.

Khairil Khusyairi