[VIDEO] Siti Nurhaliza Beri Amaran Keras! Individu Tidak Bertanggungjawab Guna Foto & Video Untuk Tujuan…

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kesal terhadap golongan peniaga dalam tallian yang menyalahgunakan fotonya dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa atas tujuan melariskan produk jualan mereka.

Siti berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Menurutnya, perkara ini bukanlah kali pertama berlaku meskipun sebelum ini beliau sudah memberi amaran terhadap individu tidak bertanggungjawab di luar sana namun, hal yang sama masih berulang.

“Walaupun sudah banyak kali saya berpesan kepada pengguna media sosial mengenai penggunaan gambar saya, ada gambar suami dan juga video saya.

“Kali ini saya buat video, supaya anda boleh mengetahui penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Macam-macam ada yang gunakan video saya untuk orang meneka nombor dan dijanjikan hadiah wang tunai.

“Selain itu, ada juga  iklan shampoo yang katanya digunakan oleh suami saya (sedangkan menggunakan gambar suami saya sewaktu balik umrah dan botak) dan ada juga gambar saya dengan iklan pelaburan, artikel-artikel yang tak masuk akal dan sebagainya,” katanya.

 

Malah, Siti juga berharap agar penjelasan daripada video yang dikongsikan dapat memberi kesedaran kepada semua pihak dari menjadi mangsa penipuan.

“Tidak semudah itu mereka mahu memberikan wang tunai, jika mereka jujur, mengapa menggunakan video saya? Bukankah dari sini kita sudah tahu muslihat mereka untuk memperdaya orang ramai,” jelasnya.

Terdahulu, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu ini pernah terpalit dengan isu yang sama apabila ada pihak menggunakan siaran live Instagramnya sebagai taktik penipuan seolah-olah penyanyi itu benar-benar sedang mengadakan peraduan.

Salma Syahbuddin