[VIDEO] Uyaina Arshad Hadiahkan Ibu Barangan Kemas Sempena Hari Ibu – “Cuma Satu Yang Aku Minta Iaitu…”

Sambutan Hari Ibu semalam ternyata memberi kegembiraan kepada setiap insan yang bergelar ibu.

Hari istimewa tersebut turut diraikan pelakon dan pengacara Uyaina Arshad bersama ibu tercinta, Siti Noor Farah Al-Wafa.

Menerusi perkongsian di Instagram, Uyaina memuat naik rakaman video yang memaparkan momen-momen manis apabila dia membawa ibunya ke kedai emas.

Ternyata Uyaina membuat ratu hatinya itu tersenyum lebar kerana menghadiahkan barangan kemas seperti gelang tangan.

Pengacara program Wanita Hari Ini Tv3 itu turut menceritakan saat-saat ibunya yang terpaksa membesarkan anak sendirian tanpa seorang suami.

“Untuk wanita teristimewa dalam hidupku. Selamat Hari Ibu. Aku membesar melihat kesusahan seorang ibu tunggal membesarkan 4 orang anak seorang diri.

“Arwah ayah aku meninggal sewaktu aku berusia 4 tahun. Sejak dari itu, mak aku lah yang membanting tulang siang dan malam untuk membesarkan kami 4 beradik seoarang diri

“Memandangkan aku yang paling bongsu, jadi akulah yang selalu ikut dia ke kedai pajak gadai. Bila ada duit lebih, dia akan beli emas. Bila ada waktu terdesak, dia akan pajak emas balik untuk dapatkan duit.

“Kadang, dia mampu untuk tebus balik emas dia. Kadang, tergadai begitu sahaja sebab tak cukup duit nak tebus balik,” kongsi Uyaina.

Tambah Uyaina, dia gembira apabila dapat memberi hadiah barangan kemas kepada ibunya malah cuma mengharapkan dirinya sentiasa didoakan ibunya.

“Sejak aku mula bekerja, Alhamdulillah aku dapat belikan satu piece barang kemas untuk dia setiap tahun. Dia pilih dia nak yang mana.

“Aku rasa happy & bangga bila tengok mak aku pakai barang kemas yang aku belikan untuk dia.

“Tiap kali selepas aku hadiahkan emas untuk dia, cuma satu yang aku minta iaitu doa dari ibuku,” tulis Uyaina.

Khairil Khusyairi