Walau Kelly Azman Kena Kecam, Rezeki Tetap Murah – “Ini Merupakan Kali Ke-12 Saya…”

Selebriti serba boleh, Kelly Azman sudah lali dengan kecaman yang dihamburkan netizen.

Menyifatkan kritikan diterima sebagai pembakar semangat, pemilik nama sebenar Raja Azman Raja Ayob ini tidak kecil hati dengan kejian yang dilemparkan.

“Sebenarnya, mereka yang mengecam ini menjadi suntikan motivasi untuk saya bekerja lebih kuat. Mereka perasan kehadiran saya dalam industri hiburan, jadi mereka mengkritik.

“Saya pula tak boleh berkecil hati kerana ini asam garam dunia seni. Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan meningkatkan usaha saya untuk terus menyerlah dan mendapat tempat dalam bidang hiburan,” kata Kelly.

Tambah penyanyi lagu No No No ini, cemuhan netizen tidak menjatuhkan semangatnya sebagai anak seni dan Kelly juga bersyukur rezekinya semakin murah.

“Kejian, cacian serta makian tidak melemahkan semangat saya untuk terus belajar dalam industri ini. Saya juga bersyukur kepada Allah kerana tawaran tidak putus. Ada sahaja rezeki yang diberikan Allah untuk saya teruskan melangkah.

“Pasca pandemik ini, bersempena ketibaan bulan yang mulia, saya kembali menghiburkan orang ramai sepanjang Ramadan di Hotel Royal bersama rakan penyanyi, Ani Maiyuni. Sambil pengunjung datang berbuka puasa menikmati hidangan buffet lazat, kami pula akan menghiburkan tetamu.

“Ini merupakan kali ke-12 saya memenuhi tawaran ini. Sebelum ini, ia pernah terhenti kerana kekangan Covid-19 dan ketika itu pihak hotel tidak menawarkan hidangan berbuka puasa. Alhamdulillah, keadaan sekarang kembali pulih dan saya menerima semula rezeki yang diberikan dengan tangan terbuka,” katanya.

Selepas muncul dengan single Dustakan Cinta tahun lalu, Kelly juga akan hadir dengan naskhah baharu berbentuk kerohanian tidak lama lagi.

Padin