“Walaupun Mereka Tak Tahu Apa Itu AJL Tapi…” – Bawa Balik Trofi, Marsha Dedikasi Kemenangan Buat Ibu & Ayah

Pemenang tempat kedua dan Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), Marsha Milan akhirnya berkesempatan pulang ke kampung halamannya sambil membawa trofi kemenangan untuk diberikan kepada ibu dan bapanya.

Perkara itu dikongsi Marsha menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

 

Menurut Marsha, walaupun kedua ibu bapanya tidak arif mengenai anugerah berprestij itu namun, dia bersyukur kerana dapat memberikan kejayaan buat insan tersayang ini apatah lagi, bila melihat reaksi dan air muka mereka.

” Balik kampung dan bawa sekali trofi untuk tatapan ibu dan ayah saya! Saya memang tak berapa cemerlang di sekolah dan ia agak mengecewakan saya kerana membuat ibu serta ayah kecewa juga.”

” Walaupun ibu dan ayah tak berapa tahu sangat tentang AJL (walau beribu kali explain AJL ialah Anugerah untuk lagu yang terbaik hasil karya daripada anak seni Malaysia…tetap mcm AJL? ), tapi apa pun bila tunjuk trofi saya, dapat lihat wajah mereka bangga dan satu perasaan berharga yang tak terkata.. i sayang awak, ibu & ayah,” tulisnya.

Untuk rekod, Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 36, merangkul dua anugerah pada AJL 36 baru-baru ini selepas 16 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Malah, video persembahan nyanyiannya menerusi lagu Cinta hasil ciptaan Hang Nadim (Akim Ahmad) dan Bunga Cantik (Stacy Anam) terus menduduki carta trending di Youtube dengan jumlah tontonan melebihi 4 juta sehingga hari ini.

 

Salma Syahbuddin