#WhazzupNetizen: Netizen Risau Pendapatan Tiada Jika Aplikasi TikTok Dipadamkan, YouTuber ‘Tarik Tudung’ Didakwa & #PotongGajiMenteri Trending Di Twitter!

Kembali dalam segmen #WhazzupNetizen untuk minggu ini dalam merungkai cerita hangat yang tular di ruangan media sosial!

#WhazzupNetizen akan mengintai mengenai pendapat wargamaya mengenai topik panas yang diperkatakan.

Jom kita imbas kembali dan semak apa kata netizen mengenai tiga topik trending yang hangat diperkatakan di media sosial!

1. Netizen Risau Nak Cari Makan Jika Aplikasi TikTok Akan Dipadamkan

Heboh di ruangan media sosial Twitter mengenai pengumuman baharu yang mendakwa aplikasi TikTok akan dibuang daripada Apple dan Google Play Store.

Ia susulan selepas Ketua Suruhanjaya Komikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat bimbang akan keselamatan data setelah mendapati aplikasi tersebut boleh menceroboh data pengguna oleh jurutera di China.

“TikTok bukanlah seperti apa yang dijangkakan, ia bukan sekadar aplikasi untuk berkongsi video lucu atau meme.

“Pada terasnya, TikTok berfungsi sebagai alat pengawasan canggih yang mengumpul sejumlah besar data peribadi dan data sensitif.

“Laporan terbaru menunjukkan data pengguna boleh diakses dari Beijing,” katanya.

Umum sedia maklum penggunaan media sosial TikTok sangat menyeluruh di serata dunia, oleh itu ramai dalam kalangan pengguna aplikasi viral tersebut bimbang sekiranya mereka hilang sumber pendapatan.

Segelintir dalam kalangan pempengaruh baharu di Malaysia terus menjadi terkenal akibat aktif membuat pelbagai konten di TikTok.

Namun begitu, ada sesetengah daripada netizen yang turut menyokong sekiranya benar aplikasi TikTok akan dipadamkan kerana menurut mereka terlalu banyak video yang tidak berfaedah.

2. YouTuber ‘Tarik Tudung’ Didakwa

Sejak kelmarin, kecoh di ruangan media sosial mengenai seorang YouTuber baharu yang telah mengundang amarah netizen kerana membuat konten ‘tarik tudung’ wanita.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, si pelaku berusia 24 tahun itu ditahan pada jam 7:30 malam kelmarin.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

“Namun, suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda,” katanya.

 

Tinjauan di ruangan komen hantaran berita tersebut, ramai dalam kalangan netizen yang memohon agar individu tersebut akan dikenakan tindakan tegas atas dakwaan kerana dipercayai tidak menjaga imej wanita dan mempersendakan agama Islam.

3. Orang Ramai Gesa #PotongGajiMenteri

Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai isu pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus seperti yang disarankan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Insdustri Tan Sri Rafifah Aziz untuk meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Namun begitu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak bersetuju dengan saranan tersebut, sebaliknya meminta kerajaan untuk berusaha menangani masalah dihadapi rakyat.

Dalam pada itu, seorang pempengaruh yang sering bahas mengenai peralatan teknologi, Xavier Naxa menyeru Perdana Menteri untuk memotong gaji menteri.

“Sudah tiba masanya Yang Amat Berhormat (YAB) Ismail Sabri untuk mewajibkan  semua jemaah Menteri memotong gaji sekurang-kurangnya 20%.

“Kempen tanda pagar #PotongGajiMenteri harus disebar secara meluas,” tulisnya.

Menerjah ke ruangan maklum balas ciapan tersebut, ramai netizen berpakat menyokong tanda pagar tersebut, menurut mereka pemotongan gaji menteri dapat membantu memperbaiki jalan atau menyelesaikan isu masalah bencana.

Fuh, itu dia komen-komen netizen mengenai isu hangat yang berlaku sepanjang minggu ini. Pelbagai tohmahan dan kritikan baik buruk ataupun tidak ditinggalkan oleh mereka ya!

Aqilah Paharuzi