Wow! Impian Ernie Zakri Hiasi New York Times Square Jadi Kenyataan – “Salah Satu Kejayaan Terbesar Saya”

Kejayaan demi kejayaan yang diraih penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri dalam karier nyanyiannya pada tahun ini.

Terkini, Ernie mencipta magisnya tersendiri apabila wajahnya menghiasi papan iklan digital gergasi di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Menurut pelantun lagu Astana itu, dia meluahkan rasa gembira apabila impian setiap penyanyi itu menjadi nyata sekali gus membanggakan negara.

“Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi solo.

“Saya tak pernah terbayang yang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia.

“Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari,” ujar Ernie teruja.

Bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh, pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) itu mempunyai banyak perancangan pada tahun ini.

Saya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan juga mungkin sebuah album pada hujung tahun ini.

“Banyak yang sudah saya rancangkan jadi tolong doakan semuanya dimudahkan,

Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya, tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya.

“Akhirnya, penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta,” kongsinya. 

Penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify.

Equal merupakan program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Khairil Khusyairi