Yura Yunita Bakal Adakan Konsert Di Malaysia 2 Februari Ini

Penyanyi Indonesia Yura Yuni bakal adakan konsert di Malaysia anjuran Renjana Idea, pada 2 Februari ini.

Konsert yang dinamakan Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur ini bakal diadakab di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Aliya Arisya Anuar selaku penganjur, pihaknya sangat berbesar hati untuk membawa Yura ke Malaysia kerana mahu berkongsi bahagia.

Malah, mereka percaya akan magis yang ada pada wanita hebat kelahiran Bandung ini mampu memukau peminat untuk menghadiri konsert ini.

“Karya karya Yura mempunyai statement yang kuat dan selalu berbicara tentang semangat mahupun inspirasi dalam kehidupan.

“Ia banyak menyentuh tentang kelebihan dan kekurangan manusia sehingga mengajak kita semua perlu kuat percaya diri.

“Lagu lagunya seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia, Tutur Batin antara bukti betapa karya Yura sangat memberi inspirasi kepada kita semua. Dan kerana itulah Renjana Idea mahu semangat ini dikongsikan dalam Pertunjukan Tutur Batin,” katanya.

Selain itu, Yura juga menyatakan dia tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu peminatnya di sini, biarpun sudah lama dilamar oleh pihak penganjur.

“Lamaran ini tidak harus dilepaskan. Sejak dari album pertama sehingga Merakit dan kini Tutur Batin, ada banyak momen yang ingin saya kongsikan bersama peminat menerusi karya karya yang terhasil.

“Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi ruang intimasi saya dan peminat berbagi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh liku tetapi tidak pernah patah semangat juang,” katanya.

Sedikit maklumat, Yura merupakan salah seorang anak didik mendiang Glenn Fredly dan terkenal menerusi lagu Balada Sirkus, pada 2014.

Orang ramai boleh mula mendapatkan tiket Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur di laman web goliveasia.com yang telah mula dijual pada 5 Disember yang lalu.

Fatin Nurain