Zalif Sidek Idam Watak Yang Mampu Beri Kesan Kepada Penonton – “Saya Tunggu Macam Filem Paskal”

Pelakon Zalif Sidek memaklumkan dia mengidamkan watak-watak yang berbeza daripada watak kebiasaan yang dilakonkannya sebelum ini.

Bercakap kepada XTRA, Zalif mengakui dia masih menunggu tawaran daripada mana-mana produser yang mampu memberinya watak yang memberi impak kepada penonton.

“Saya masih menunggu tawaran untuk filem yang bergenre berbeza daripada kebiasaan saya seperti filem Paskal.

“Sebagai contoh bila saya tengok rakan selebriti, Anas Ridzuan bawa watak dalam filem tersebut walaupun fizikal yang gempal, dia dapat bawakan watak itu dengan sukses, jadi best sangat.

“Fizikal saya dengan dia juga tidak jauh beza, jadi saya masih menunggu filem-filem yang orang nak pergi menonton di pawagam.

“Sebab saya banyak dapat tawaran yang menarik tetapi watak-watak itu saya dah lakonkan sebelum ini. Tetapi pihak produser yang mahu saya, jadi saya tak boleh tolak rezeki itu.

“Saya masih mencari filem-filem yang mampu memberi kesan kepada penonton,” katanya.

Zalif ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Seni dan Budaya Redholah di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Daddyku Gangster ini turut memaklumkan baru sahaja selesai menjalani penggambaran beberapa filem dan drama.

“Sekarang saya dah selesai jalani penggambaran sebuah filem bersama pelakon Amir Ahnaf.

“Dalam filem tersebut, saya bawa karakter yang lain seperti saya mencuba menghisap pil kuda dalam filem tersebut.

“Saya rasa ia satu kelainan bagi saya dan mencabar juga bagi saya. Filem itu berbentuk kenegerian tapi ada mesejnya yang tersendiri,” kongsinya.

Khairil Khusyairi