Zara Zya Lebih Memilih… Takut Penonton Bosan Lihat Wajahnya Kerap Keluar TV!

Pelakon Zara Zya, bimbang penonton merasa bosan melihat wajahnya kerap menghiasi televisyen apabila dua drama lakonannya iaitu Honey Moon dan Risik Pada Hati ditayangkan serentak di TV3.

Biarpun lebih sedekad dalam industri seni, kehadiran Zara dalam bidang lakonan terus menjadi rebutan dan kekal relevan.

“Takut juga nanti orang katakan asyik muka sama sahaja di TV, sedangkan orang tidak tahu penggambaran salah satu drama itu sudah lama dilakukan.

“Dua drama ini pula genre berbeza, jadi bimbang nanti orang akan bandingkan lakonan saya. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon versatil,” katanya.

Pelakon itu turut menyatakan setiap watak yang dibawakan memiliki cabaran tersendiri dan dia sentiasa bersikap terbuka dalam mencari kelainan untuk meneroka watak baharu.

Namun, Zara juga mengakui dirinya lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon drama supaya dapat mengekalkan kualiti lakonannya.

“Saya kini membintangi sebuah drama komedi berjudul Honey Moon. Jujurnya berlakon drama komedi bukannya mudah. Susah nak buat orang terhibur dan bimbang lakonan saya tidak bersahaja. Jadi dalam drama ini saya banyak mengikut idea pengarah.

“Dalam menerima tawaran berlakon, memang saya memilih, tetapi sekarang ini semua watak yang diberikan sangat menarik, jadi tak perlu untuk saya hadkan,” katanya.

Selain itu, Zara mengaku sukar mencipta keserasian dengan Ben Amir menerusi drama arahan Pali Yahya tersebut pada awalnya, namun semuanya berjalan dengan lancar.

“Ketika di lokasi penggambaran, pada awalnya keserasian dengan Ben agak susah kerana dia pendiam dan banyak buat hal sendiri.

“Jadi, saya lebih mendekati dia untuk kurangkan rasa malunya. Ben seorang pelakon yang sangat ‘memberi’ dan mudah bekerjasama,” katanya.

Jangan lupa saksikan lakonan Zara Zya menerusi drama Risik Pada Hati  dan  Honey Moon yang disiarkan di TV3 atau strim secara langsung di www.tonton.com.my.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain