Zara Zya Nafi Trauma Bercinta Dengan Rakan Artis, Sudah Temui Pengganti?

Kecoh dengan kisah pertunangannya dengan pelakon, Hafreez Adam yang putus di tengah jalan dan hanya bertahan selama lebih kurang sebulan,  Zara Zya mahu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku dan lebih berhati-hati apabila berkawan. 

Mengakui tiada apa yang perlu dibanggakan dengan kisah putus cintanya dengan bekas tunang, Zara bagaimanapun mahu kekal berfikiran positif dan mengambil pengajaran dari episod itu supaya pisang tidak berbuah dua kali. 

“Memanglah, kalau dilihat daripada suatu sudut, nama saya jadi bualan ramai meskipun kisah putus tunang bukanlah sesuatu yang dibanggakan. 

“Sebagai manusia, kita mesti selalu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku agar kejadian sama tidak berulang. 

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, cuma mahu lebih berhati-hati apabila berkawan.  Kita tidak tahu niat orang, jadi tidak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga,’ katanya kepada BH Online. 

Bulan lalu, Hafreez (29) membuat pengakuan bahawa ikatan pertunangannya dengan Zara sudah terlerai secara baik, seterusnya menutup spekulasi tentang perhubungan mereka apabila Hafreez dikatakan tidak lagi ‘mengikuti’ Zara di Instagram. 

Baca: Hubungan Diuji, Hafreez Adam Akui Tidak ‘Follow’ Tunang Di Instagram?

Baca: Hafreez Adam Akhirnya Jawab Spekulasi, Putus Tunang Bulan Lalu…

Desas-desus bahawa hubungan mereka goyah disebabkan ‘orang ketiga’ dinafikan oleh pelakon jelita itu apabila dia juga didakwa menjalani hubungan ‘sejenis’. 

Baca: ‘Sumpah Itu Bukan Punca’- Zara Zya Jawab Dakwaan Jalani Hubungan Sejenis

Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia binti Mohd Zainuddin juga menafikan yang dia serik untuk bercinta dengan rakan artis, walau bagaimanapun dia tidak mahu terburu-buru untuk mencari pengganti Hafreez. 

“Saya tidak trauma untuk bercinta sesama rakan artis…Cuma biarlah dahulu.

“Lagipun saya baru putus tunang.  Azam tahun baharu adalah berfikir lebih positif dan fokus kepada bidang perniagaan.

“Saya cukup hargai keluarga, sahabat rapat dan peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap perjalanan karier seni saya.

“Saya tidak mahu hanya tertumpu kepada tawaran lakonan.  Sebaliknya, saya sentiasa mencari ruang dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, biarpun masih ‘hijau’ untuk berniaga, rezeki itu sentiasa ada,” kata pelakon drama Kerana Anisa itu. 

 

Kredit Foto: Instagram @zarazya

Sumber: BH Online

Del14