Categories: LIFESTYLE

Buah Blueberry Boleh Kurangkan Risiko Sakit Jantung

Kajian terbaru mendapati bahawa pengambilan blueberry mampu mengurangkan risiko sakit jantung sehingga 20 peratus, lapor Dailymail.

Para penyelidik mendedahkan pengambilan blueberry sebanyak 200 gram setiap hari selama sebulan dapat membantu memperbaiki fungsi salur dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

Malah, para penyelidik ini juga berpendapat blueberry adalah makanan super yang sama efektif dengan pil mengawal tekanan darah yang biasa diperolehi daripada hospital.

Manfaat terhadap kesihatan ini diperoleh daripada sejenis bahan kimia dalam buah blueberry dikenali sebagai anthocyanin. Bahan kimia ini juga memberi warna biru pada buah berry tersebut.

Tekanan darah tinggi sebelum ini sudah diketahui adalah punca kepada penyakit kardiovaskular dan sekiranya tidak dirawat boleh menyebabkan penghidapnya mengalami masalah serangan jantung, stroke dan juga masalah buah pinggang.

Kumpulan penyelidik di Kings College London telah melakukan analisis terhadap manfaat meminum jus buah blueberry selama sebulan dan hasilnya minuman berkenaan berupaya untuk menyelamatkan nyawa manusia.

”Walaupun adalah lebih baik sekiranya orang ramai memakan keseluruhan buah blueberry ini, namun kajian kami mendapati bahawa warna biru pada buah itu mempunyai manfaat paling besar,” kata ketua penyelidik, Doctor Ana Rodriguez-Mateos.

”Jika perubahan baik yang kami dapat kesan berlaku dalam salur darah responden yang meminum jus blueberry setiap hari boleh membuatkan manusia menjadi lebih sihat, maka ia mampu mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung sehingga 20 peratus.

”Bluberry kaya dengan polyphenols, sebahagian adalah anthocyanins, tetapi turut juga mengandungi kompaun phenolic lain tetapi pada jumlah kecil seperti procyanidins, flavonols dan asid phenolic. Selain itu, ia juga kaya dengan pelbagai vitamin, serat dan mineral,” katanya lagi.

Kajian yang dilaksanakan melibatkan 40 orang peserta yang sama ada diberikan jus mengandungi blueberry seberat 200 gram setiap hari atau placebo.

Mereka mendapati bahawa dengan meminum jus berkenaan, fungsi salur darah bertambah baik dengan signifikan dalam masa yang singkat, 2 jam selepas meminum jus.

Manakala dalam tempoh sebulan pula, tekanan darah tinggi menurun sebanyak 5mmHg, jumlah penurunan yang sama bagi pesakit yang bergantung kepada ubat-ubatan moden.

Kajian berkenaan diterbitkan dalam Journal of Gerontology Series A.

Sumber: Dailymail

SGMS Enal