Elak Lupa Anak Dalam Kereta? Cuba Cara Ini!

Bagi mengelak kes terlupa atau tertinggal anak di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menggariskan beberapa saranan yang boleh diamalkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak!

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius isu kecuaian ibu bapa meninggalkan anak di dalam kenderaan yang menyebabkan lima kematian kanak-kanak dan bayi sejak 2016.

“ Antara langkah pencegahan adalah menyarankan ibu bapa meletakkan kanak-kanak di kerusi khas dalam kenderaan khusus untuk bayi dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dan meletakkan bayi di tempat duduk depan,” sarannya.

Dalam masa sama, kanak-kanak wajib dipakaikan tali pinggang keledar dengan kemas selain tidak boleh diletakkan di tempat duduk belakang khususnya di belakang kerusi pemandu kerana ia merupakan titik buta.

“ Ibu bapa yang membawa bayi atau kanak-kanak dalam kenderaan disaran meletakkan barang penting seperti beg tangan di bahagian belakang mengikut kesesuaian sama ada di atas kerusi atau di ruang kaki penumpang, atau meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi mengingatkan anak ada di bahagian belakang,” katanya.

Diharapkan agar kes-kes sebegini tidak lagi berulang! Beringat sebelum kena, apa pun luang sedikit masa memeriksa di bahagian belakang kereta sebelum meninggalkan kereta okay?  

SGMS Faida