Categories: Fab Foodies!LIFESTYLE

Jeruk Kulit Limau Dari China Dikesan Ada Plumbum

Sebuah produk jeruk kulit limau yang berasal daripada China dikesan mengandungi plumbum melebihi had yang ditetapkan, menurut laporan akhbar tempatan, South China Morning Post.

Produk yang terkenal di negara Tembok Besar itu turut dipasarkan kepada beberapa buah negara antaranya Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar produk berkenaan menjelaskan bahawa kemungkinan untuk berlaku pencemaran plumbum dalam produknya yang dieksport ke luar negara adalah sangat rendah.

Terdahulu, melalui dua siri ujian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran China pada Mac mendapati produk jeruk limau berkenaan mengandungi kandungan plumbum tujuh kali ganda lebih tinggi, manakala ujian kedua yang diadakan pada Mei mengesan jumlah plumbum enam kali ganda lebih tinggi.

Berdasarkan undang-undang China, jumlah plumbum yang dibenarkan di dalam makanan adalah tidak melebihi 1 miligram bagi setiap sekilogram. Ujian pertama mendedahkan bahawa produk jeruk berkenaan mengandungi sebanyak 8 miligram perkilogram manakala ujian kedua menunjukkan pencemaran sebanyak 6.69 miligram perkilogram.

Plumbum, satu bahan yang terbentuk secara semula jadi boleh menjadi toksik yang berbahaya kepada manusia jika diambil dalam jumlah yang banyak dan berupaya untuk memudaratkan pelbagai sistem dalam badan.

Selain itu, plumbum sangat berbahaya terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak kerana boleh menyerang fungsi otak dan sistem saraf sekaligus boleh mengakibatkan berlakunya koma, sawan dan kematian.

Produk jeruk kulit limau itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Selatan China dan sangat terkenal di negara berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap kilang berkenaan, kedua-dua sampel yang diuji bermasalah tersebut adalah yang dihasilkan pada bulan Disember dan Januari dengan bahan mentah diperolehi daripada pembekal secara one-off.

”Disebabkan sambutan Tahun Baru Cina, dan pembekal tetap kami menghentikan penghantaran buat sementara waktu, kami kemudian membuat keputusan untuk mendapatkan bahan mentah daripada pembekal yang lain.

”Secara dasarnya, kami mengakui bahawa berlaku kesilapan apabila tidak membuat pemantauan yang teliti ke atas kualiti bahan mentah tersebut,” kata Pengarah Pemasaran syarikat berkenaan, Liu Chaoliang.

Liu turut memberitahu bahawa produk yang mengandungi jumlah plumbum melebihi daripada kadar yang ditetapkan itu hanya melibatkan ”beberapa dozen kotak sahaja” dengan setiap pek jeruk siap dipeket mempunyai berat 24 gram.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tepat produk yang terlibat sambil memberitahu kemungkinan untuk produk-produk rosak tersebut dieksport ke luar negara adalah rendah.

”Memandangkan produk ini biasanya dijual melalui rantaian peniaga yang pelbagai, kami berhadapan dengan sedikit kesukaran untuk memanggil pulang semula produk yang tercemar dengan segera selepas ujian pertama dilakukan pada Mac.

”Manakala ujian kedua pula dilakukan ketika kami masih dalam tempoh memanggil pulang produk yang rosak yang dikesan dalam ujian pertama. Tetapi kami mendapati bahawa kedua-duanya adalah daripada masa pengeluaran yang sama,” kata Liu.

Sumber : South China Morning Post

SGMS Enal