Hiburan By: Padin November 16, 2023 @ 7:08pm

Seksi & Lincah! 6 Gadis Bergabung Sebagai Wandted, Perkenalkan Single ‘Cinderella’ Sebagai Debut

Tampil lincah hasil latihan vokal dan tarian selama dua tahun sebelum muncul di persada arus perdana menyerlahkan sisi istimewa kumpulan Wandted yang dibarisi enam gadis berusia awal 20-an.

Single debut berjudul Cinderella adalah pertaruhan sulung buat Aela, Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna yang kental memperjuangkan genre M-pop.

Aela berkata, biar pada awalnya ada yang skeptikal terhadap kemampuan mereka, selepas menyaksikan persembahan di beberapa acara, pandangan tersebut terhakis serta merta.

“Kami melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai tunjang Wandted sekitar 2020 termasuk menyertai kem latihan di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional.

“Walaupun mempunyai asas vokal serta tarian dan kemudian digabungkan dalam Wandted yang sememangnya landasan untuk kami memperjuangkan muzik M-pop.

“Namun asas saja tidak mencukupi, kerana umpama ke medan perang, kita perlu bersedia dari segi strategi, latihan serta senjata lengkap.

“Disebabkan itu syarikat pengurusan mewajibkan kami memasuki kem latihan selama dua tahun meliputi pemantapan vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain.

“Apabila single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh dilancarkan bermakna Wandted sudah bersedia menyahut cabaran menembusi arena muzik,” katanya.

Menurut gadis berdarah campuran Melayu-Cina itu, kehadiran mereka bukan untuk menyaingi sesiapa mahu pun grup sedia ada terutama Dolla, sebaliknya menawarkan alternatif kepada pendengar.

“Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.

“Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-pop popular hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekaligus kami yakin genre ini juga mampu berkembang pesat.

“Melihat pencapaian bintang K-pop, Wandted tidak gentar menyahut cabaran melalui sesi latihan selama dua tahun yang memberikan impak tersendiri,” ulasnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai Cinderella yang dilancarkan 3 November lalu, Rae pula selaku ‘rapper’ dalam kumpulan tersebut mengakui teruja dengan respons pemerhati muzik.

Rata-rata memberikan maklum balas positif kepada lagu serta video muzik yang menonjolkan kekuatan dalaman serta pemerkasaan wanita seperti dalam lirik.

“Cinderella istimewa apabila mempunyai kekuatan dari segi alunan instrumen yang
menggambarkan konsep ‘fairytale’ bertepatan dengan tajuknya.

“Secara tidak langsung kami mengangkat tema pemerkasaan wanita, manakala irama serta seni kata ‘catchy’ menyuntik semangat jitu,” kongsi penuntut Universiti Malaysia Sarawak itu.

Bagi seorang lagi tunjang Wandted, Ann, peluang serta kepercayaan diberikan syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks tidak mungkin disia-siakan.

“Istimewanya Wandted adalah gabungan enam anggota yang agak jarang dilihat kerana kebiasaannya grup seperti ini antara empat dan lima orang saja.

“Ini semua cetusan idea syarikat pengurusan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap formula ‘the more the merrier’ terutama membabitkan grup berpaksikan nyanyian dan tarian.

“Dari segi keserasian pula sememangnya pertama kali dipertemukan kami sudah sekepala kerana usia sama sekitar awal 20-an, selain ‘gila’ menari, jadi semuanya bagai dipermudahkan,” ulasnya.

Video muzik Cinderella edaran One Stop Music (OSM) Berhad boleh diikuti menerusi penstriman digital di semua platform bermula 7 November lalu.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 3 May 2023
Hiburan Wed, 8 Nov 2023
Featured Fri, 10 Mar 2023
Hiburan Sat, 13 Jul 2019

Alhamdulillah, I’m A Mother- Juliana Evans

Pelakon drama Mimpi Sabrina ini memuat naik sekeping foto dan mengucapkan syukur.

Hiburan Sat, 16 Dec 2023
Hiburan Thu, 11 Jul 2019
Hiburan Sun, 10 Dec 2023
Featured Wed, 14 Dec 2022