Categories: Oh Lawa

Givenchy tampilkan beg galas yang dihiasi riben gergasi di Minggu Fesyen Paris

Minggu Fesyen Paris untuk kategori Haute Couture berlangsung minggu lalu di ibu kota fesyen Perancis.

Bagi anda yang tidak tahu, haute couture ialah gaya fesyen mewah yang menampilkan produk diperbuat daripada fabrik berkualiti tinggi, mahal dan luar biasa, serta dijahit dengan tangan menggunakan teknik dan ketelitian yang ekstrem.

Peminat industri ini pastinya sedang teruja kerana pelbagai macam gaya fesyen ditampilkan pada acara tahunan terkemuka itu.

Ternyata pada setiap musim, ada sahaja rekaan luar biasa yang dipamerkan, hingga kadangkala reka bentuknya tidak masuk akal!

Kali ini, rekaan yang menarik perhatian kerana keanehannya datang daripada Givenchy, antara jenama fesyen ternama yang sering menjadi tumpuan dunia.

Himpunan beg yang dikeluarkan jenama itu selalunya elegan dan kemas, tetapi kerana temanya Haute Couture, Givenchy menampikan kelainan.

Anda tengoklah sendiri, ia nampak seperti gabungan antara beg galas dengan riben gergasi!

Foto: Getty Images

Beg ini direka khas oleh Clare Waight Keller yang dikenali sebagai pereka fesyen gaun pengantin Meghan Markle.

Ini merupakan kali ketiga beliau menyumbangkan idea haute couture untuk jenama Givenchy. Selalunya rekaannya tidaklah begitu feminin, tetapi riben gergasi yang melambangkan gaya feminin ini tampak seperti sayap lebar bagi model yang memperagakannya sambil memakai gaun panjang.

Foto: Getty Images

Saiznya cukup besar! Entah-entah apabila hendak melalui pintu, si pemakainya kena jalan mengiring.

Rekaan ini langsung tidak praktikal, tapi sekadar untuk mencuci mata demi menghiburkan orang ramai, apa salahnya?
Rasanya itulah motif adanya fesyen haute couture ini.

Sumber: InStyle, Harper’s Bazaar

Ad Ops