Categories: Parenting

6 Cara Untuk Elak Anak Jadi Pemarah Yang Wajib Para Ibu Bapa Ketahui

Setiap ibu bapa pasti melalui pelbagai fasa dalam membesarkan anak. Bermula dari kecil sehinggalah mereka besar. Pasti mencabar! Anak kecil yang mudah marah atau merengek adakalanya boleh menguji tahap kesabaran ibu bapa. Tidak semua ibu bapa dapat mengendalikan sikap anak sebegitu.

Secara tidak sedar, ada dalam kalangan anda yang kerap melakukan kesalahan dengan sengaja membiarkan, memarahi, menghukum malah ada yang sanggup memukulnya semata-mata mahu anak diam. Kasihanilah mereka kerana mereka masih kecil dan tidak tahu lagi perkara yang betul dan perkara yang salah.

Foto: The Asianparent

Kalau anda nak tahu, kemarahan seorang anak kecil adalah berbeza puncanya berbanding kemarahan orang dewasa. Kita sebagai ibu bapa jadilah penyejuk hati bagi anak-anak yang sedang marah sehingga mereka dapat memahami kesalahannya sendiri dan belajar cara yang betul untuk mengatasi emosi mereka. Tetapi bagaimana caranya? Ikuti 6 cara ini untuk meredakan emosi anak anda yang sedang marah. Semoga bermanfaat!

1. Prihatin dengan perasaan anak

Foto: Liputan Islam

Seorang anak kecil memiliki keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu namun seringkali kemampuan tidak sekuat dengan keinginannya. Kekecewaan diluahkan melalui kemarahan. Anda perlu memahami perasaan anak anda dengan kenali kesukaannya, faham apa yang diinginkan dan tidak diinginkan, waktu tidur dan sebagainya. Jangan terlalu memaksanya jika anda ingin memperkenalkan sesuatu perkara yang baharu.

2. Komunikasi

Foto: Stories of World

Anda perlu tahu kadangkala apa yang cuba disampaikan oleh anak kepada ibu bapanya ‘tidak sampai’ sehingga boleh menimbulkan kekecewaan pada mereka. Kalau anda perasan, anak akan menunjukkan tanda protes dengan cepat marah, merengek, merosakkan sesuatu dan sebagainya. Sebaiknya, anda perlu sentiasa meluaskan komunikasi bersama anak dan anggaplah mereka sebagai sahabat.

3. Pelukan

Foto: Masterfile

Tanpa anda sedari kadangkala kemarahan seorang anak adalah disebabkan kurangnya kasih sayang atau perhatian daripada ibu bapa. Kian membesarnya anak-anak atau kerana ibu bapa sibuk bekerja ia antara punca menjadikan interaksi antara anda dan anak berkurangan. Sentiasalah memberi kasih sayang dan pelukan kepada anak-anak sebelum ke tempat kerja atau saat mereka sakit.

4. Larangan yang logik

Foto: Newstalk.com

Kata-kata seperti ‘jangan’, ‘tidak boleh’ dan seumpamanya sering membuatkan anak merasa tidak dipercayai atau terbatas pergerakannya. Apa yang perlu anda lakukan adalah, sentiasa memberi alasan yang logik tentang mengapa kita melarangnya untuk melakukan sesuatu. Contohnya melibatkan hal yang boleh membahayakan dirinya. Anda boleh menjelaskan risiko-risiko jika dia masih berdegil untuk melakukannya.

5. Menunjukkan tauladan

Foto: Psychologytoday.com

Tahukah anda, ibu bapa yang sering marah-marah atau tidak mampu mengawal emosi akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sebagai ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak seperti cara yang betul untuk mengatasi emosi. Sebaiknya jika anda mula hendak merasa marah berusahalah untuk tidak menunjukkannya di hadapan anak-anak. Ia sangat mempengaruhi!

6. Sentiasa tenang

Pasti anda pernah melalui saat di mana anak meragam atau marah-marah di tempat awam kan? Mesti kita akan berasa malu dan stress! Jangan begitu, anda sebagai ibu bapa perlu berada dalam keadaan tenang serta tidak mudah melatah. Hiraukan tentang pandangan orang lain. Elakkan daripada memarahi semula atau memukulnya di khalayak ramai. Cara mudah yang boleh anda lakukan adalah membawa anak ke tempat yang lebih sunyi sehingga anda dapat meredakan kembali emosinya.

Menjadi ibu bapa bukanlah perkara yang mudah, banyak tanggungjawab yang harus dipikul. Termasuklah tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak dengan sisikan yang sempurna. Sentiasalah bertenang dan sabar dalam melayani karenah anak-anak. 

Sumber: Majalah PaMa

tex_admin