Categories: Parenting

Adab Anak Di Rumah Orang

Entri Chef Selebriti Chef Wan di laman Instagram mengenai anak-anak tetamu di rumah terbuka yang nakal, membazir makanan dan menyerakkan rumah, tular sehingga mendapat perhatian netizen tidak berapa lama dahulu.

Ketika menjadi tetamu ‘Wanita Hari Ini’, Chef Wan berkongsi pandangannya mengenai isu yang mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju, tidak kurang juga mengecam entri Instagram berkenaan.

Menurutnya, di mana jua kita berada, kita tertakluk dengan undang-undang dan peraturan. Lebih-lebih lagi apabila di rumah orang lain, sudah tentunya kita perlu akur dengan peraturan di sana. Perbuatan yang melanggar privasi tuan rumah pastinya mengundang keadaan tidak selesa dan boleh menyebabkan konflik dua pihak.

Disiplin yang diterapkan di rumah sendiri sehari-hari akan ditunjukkan di luar rumah atau di mana sahaja anak-anak berada. Tambahnya lagi, sayang tidak bermakna anak-anak tidak boleh dimarahi. Ibu bapa perlu menetapkan had agar perlakuan anak tidak melampaui batas dan menyusahkan di kemudian hari.

Jika mendapati anak nakal, merosakkan barangan tuan rumah atau mengambil mainan anak tuan rumah tanpa kebenaran, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan menegur anak mereka. Kecuaian untuk membetulkan kesalahan yang dilihat kecil ini akan menjadikan anak-anak terbiasa dan menganggap perbuatan mereka ‘direstui’.

Bagaimanapun, menangani hal ini, kedua-dua belah pihak, tetamu juga hos sebetulnya perlu punya rasa hormat yang seiring. Tetamu sudah tentunya mengenali anak sendiri, bagaimana perangai dan perlakuan mereka dan berapa lama tempoh ‘bertenang’ anak.

Mengambil masa tidak terlalu lama di rumah dilawati adalah antara tips yang diberikan. Anak-anak yang berada di suatu tempat sama sudah tentu akan mula menunjukkan dirinya yang sebenar. Ibu bapa yang memahami akan cepat-cepat bergegas pulang atau bergilir-gilir memantau anak untuk mengelak si kecil buat perangai di rumah hos.

Pun begitu, tuan rumah yang menjemput turut tidak ketinggalan cuba menyelami dan memahami tetamu. Pemahaman keadaan anak kecil yang mungkin berhadapan masalah seperti autisme, hiperaktif dan masalah lain akan memudahkan hos memahami dan tidak mudah menjatuhkan hukum kepada ibu bapa.

 

Sumber : Aplikasi Wanita

Muat turun secara percuma di :-

Baca artikel penuh di Aplikasi Wanita.

GooglePlay: bit.ly/WanitaAndroid

AppStore: bit.ly/WanitaApple

Ad Ops