Categories: Parenting

Perhatian Untuk Si Ibu, Jangan Biarkan Anak Kecil Bermain Alat Solek Kepunyaan Anda

Naluri seorang ibu pastinya lebih memahami telatah anak mereka. Kalau rumah riuh, maknanya dia sedang sibuk bermain dan mengeksplorasi dunia barunya.

Tapi kalau si kecil itu tiba-tiba senyap dan menghilang, mulalah kita tertanya-tanya lalu berlaku kejadian panik lantas berkejaran ke kamar dengan dada yang berdebar-debar.

Sebaik tombol pintu dibuka, perasaan yang panik bertukar naik darah bila melihat si anak dara kecil sedang seronok sakan bermain alat solet anda. Mana tak naik hantu si ibu lebih-lebih lagi gincu kegemaran dibelasah si kecil tanpa segan silu.

Apapun jangan dimarahkan anak tadi kerana kanak-kanak sememangnya gemar mencuba dan perbuatan seperti itu adalah normal terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Ianya bagus untuk memupuk sifat feminin di dalam diri mereka.

Cuma seperkara harus diingatkan, hindarkan anak anda daripada menggunakan alat solek orang dewasa dan sebaiknya membeli set makeup khas untuk kanak-kanak. Ini kerana golongan itu mudah dijangkiti penyakit kulit kerana keadaan kulit mereka yang lebih lembut dan sensitif menyebabkan kulit mereka lebih mudah dijangkiti pelbagai kuman.

Foto : Amazon

Atas alasan ini juga, doktor perubatan estetik, Dr Aidil Azry Mokhtar, menasihatkan ibu-bapa diminta berhati-hati ketika mengenakan produk kosmetik kepada anak-anak mereka.

Katanya, produk kosmetik untuk orang dewasa sebenarnya tidak sesuai untuk kulit kanak-kanak kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai kemudaratan dan alahan.

“Apabila kulit itu terlalu sensitif dan terdedah dengan bahan-bahan kimia seperti logam berat, ia memberikan risiko tinggi dan komplikasi seperti radang kulit, kulit membengkak mahupun jangkitan berbanding orang dewasa. Tambahan pula, daya imunisasi tubuh orang dewasa lebih tinggi berbanding kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa perlu mengambil tahu kandungan yang terdapat di dalam produk kosmetik bagi mengelak kesan sampingan terhadap anak mereka.

“Alat solek perlu sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat atau setaraf dengannya. Kalau ada sijil kelulusan badan-badan ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan risiko terhadap kanak-kanak,” ujarnya.

Foto : ebay

Yanie Baharom