Categories: Sihat

Anak bijak, itu kerana mewarisi genetik ibunya. Tak percaya? Ini hujah saintifik

Rasulullah SAW dalam satu sabda hadis bermaksud: “Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan.”

Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah yang cukup dalam. Kenapa? Kerana ungkapan ‘100 tahun sebelum lahir’ ini bermakna jauh sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini.

Secara tidak langsung, pengertian hadis ini boleh dikaitkan dengan proses pembelajaran anak itu bermula sejak dalam kandungan ibu lagi.

Sama ada status anda ibu berkerjaya mahupun suri rumah tangga, ia tidak membataskan seseorang itu menimba ilmu setiap hari. Minda ibu yang cerdas menghasilkan anak-anak yang cerdas.

Mungkin ramai yang kurang faham hubung kait antara genetik kecerdasan ibu dengan apa yang boleh diwarisi oleh seorang anak, tetapi hal ini turut dibuktikan secara ilmiah.

Foto: Instagram Scha Alyahya

Menurut ahli psikologi Jennifer Suarez daripada Psychology Spot, ibu-ibulah yang bertanggungjawab menyebarkan gen kepintaran anak.

Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini di Universiti Ulm di Jerman, mendapati gen kepintaran anak terletak di kromosom X. Oleh kerana wanita membawa dua kromosom itu, ia bermaksud kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapatkan kecerdasan mereka daripada ibu.

“Ia adalah kebetulan bahawa kecacatan intelektual adalah 30 peratus lebih biasa dalam kalangan lelaki,” kata Suarez.

Satu kajian lain oleh Medical Research Council Social dan Unit Sains Kesihatan Awam di Glasgow, Scotland juga mendapati bahawa peramal terbaik kecerdasan adalah IQ ibu.

“Nisbah kecerdasan anak-anak muda ini diubah hanya purata 15 mata daripada ibu mereka,” Suarez melaporkan.

Foto: adaptivediversity

Selain daripada genetik, ibu juga memupuk kecerdasan secara fizikal dan emosi.

Menurut Sains, kira-kira 40 hingga 60 peratus daripada kecerdasan adalah daripada keturunan. Walau bagaimanapun, bagaimana anak-anak dibesarkan juga banyak menyumbang kepada peningkatan kepintaran anak.

Manakala penelitian yang dilakukan oleh University of Washington, perempuan (merujuk kepada ibu), menurunkan gen kecerdasan lebih banyak kerana perempuan memiliki dua kromosom X. Ayah hanya memiliki satu kromosom X. Kromosom inilah yang menentukan fungsi kognitif seorang anak.

Bahkan, kajian yang dilakukan terhadap tikus juga telah membuktikan teori ini. Keputusan daripada kajian yang dijalankan, mendapati tikus-tikus yang disuntikkan genetik ibu memiliki otak lebih besar dengan tubuh yang lebih kecil. Ukuran otak inilah yang membuat tikus-tikus menjadi lebih pintar.

Bagaimana dengan genetik ayah, adakah anak tidak mewarisi langsung?

Foto: Wikipedia

Genetik kecerdasan ini sebenarnya dimiliki setiap orang, tetapi genetik lelaki seolah-olah dinyahaktifkan oleh genetik kecerdasan ibu. Menyokong dakwaan ini, satu kajian dilakukan oleh Medical Research Council Social dan Public Health Science Unit terhadap 12,686 orang berusia 14 hingga 22 tahun.

Pertanyaan yang diajukan berfokus pada IQ, keturunan, pendidikan dan status sosial-ekonomi. Dari serangkai pertanyaan, disimpulkan penyumbang utama kecerdasan minda adalah IQ ibu mereka.

Bagaimanapun, golongan bapa tidak usah berkecil hati kerana selama anak-anak membesar mereka akan dipengaruhi karakteristik sama ada ibu mahupun bapa. Mungkin juga jika mahu anak mewarisi karakter bapa, si bapa hendaklah banyak meluangkan masa dengan anak atau peruntukkan masa berkualiti dengan anak supaya mereka tahu dan kagum dengan bapa meskipun kecerdikan dikatakan diwarisi daripada ibu.

Yanie Baharom