Categories: familuvSihat

Anak tidak cukup tidur? Ini cara untuk tahu

Waktu tidur yang mencukupi merupakan perkara asas yang penting bagi menjamin kesihatan dan produktiviti seseorang dalam kehidupan seharian mereka. Untuk kanak-kanak pula, waktu tidur yang mencukupi amat diperlukan dalam menyokong pembesaran pertumbuhan mereka sama ada secara fizikal mahupun mental.

Mengikut National Sleep Foundation, keperluan waktu tidur bayi dan kanak-kanak berbeza mengikut umur mereka:

  • Tiga bulan -14 ke 17 jam
  • Empat ke 11 bulan – 12 ke 15 jam
  • Satu ke dua tahun – 11 ke 14 jam
  • Tiga ke lima tahun – 10 ke 13 jam
  • Enam ke 13 tahun – Sembilan ke 11 jam

Foto: Parents

Ketidakmampuan seseorang bayi mahupun kanak-kanak untuk mendapatkan waktu tidur yang mencukupi menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah dari segi fizikal mahupun mental.

Antara masalah yang akan dihadapi oleh kanak-kanak mahupun bayi yang tidak cukup tidur adalah sukar mengganggu fungsi kognitif yang berperanan dalam melakukan pemikiran abstrak dan perlakuan kreatif, kurang tumpuan dan sukar mengawal perasaan.

Satu kajian yang dilakukan oleh Pakar Kanak-kanak daripada Universiti Harvard mendapati terdapat perkaitan yang jelas di antara kekurangan waktu tidur kanak-kanak ketika mereka di awal usia dan juga perlakuan emosi (neurobehavioral) kanak-kanak berkenaan ketika di sekolah.

Dalam kajian tersebut, mereka mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur ketika di awal usia mereka akan menghadapi masalah mengekalkan perhatian, sukar untuk mengingat dan juga menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang diberi ketika aktiviti di sekolah.

Foto: Understood

Selain itu, kanak-kanak yang tidak cukup tidur turut berhadapan dengan risiko penyakit obesiti. Hal ini berlaku kerana kesan kekurangan tidur yang dihadapi akan mendorong mereka untuk mengambil makanan yang mengandungi kalori secara berlebihan dan seterusnya menyumbang kepada risiko diabetes.

Jadi, bagaimanakah untuk mengetahui apakah tanda yang ibu bapa  boleh kesan bahawa anak mereka menghadapi masalah kekurangan waktu tidur. 

Bayi

  • Hiperaktif dan sukar untuk dikawal
  • Sukar untuk bangun dan mudah untuk tidur kembali
  • Tidur ketika perjalanan singkat di dalam kereta
  • Mudah meragam apabila tidak mendapat apa yang dikehendaki
  • Berdengkur ketika tidur
  • Sentiasa lapar dan mahu makan

Pra-Sekolah

Foto: ahbeard.com

  • Sukar untuk bangun pagi
  • Hiperaktif
  • Tidak bersemangat serta memiliki daya tumpuan yang lemah
  • Memiliki daya tumpuan yang singkat dalam aktiviti seharian
  • Sukar untuk tidur pada waktu malam
  • Menghadapi gangguan tidur (mengalami mimpi buruk)
  • Berdengkur dengan kuat

Pra remaja (bawah 12 tahun)

  • Sukar untuk memberikan tumpuan sepanjang hari
  • Sukar bangun pagi
  • Hiperaktif dan agresif
  • Mudah tidur di sepanjang hari
  • Tidur dengan agak lama pada waktu hujung minggu
  • Minum minuman yang memiliki kadar kafein yang tinggi

Apabila ibu bapa mengesan tanda-tanda berkenaan terdapat pada anak mereka, mungkin sesuatu boleh dilakukan seperti berbincang dengan anak atau mengaur semula jadual harian mereka supaya anak mendapat tidur yang cukup seterusnya menjadikan mereka lebih aktif dan sentiasa sihat.

tex_admin