Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuat kejutan apabila menjadi artis wanita solo yang bakal beraksi di pentas Muzik Festival Hausboom 2024 yang diadakan di KL Base pada Oktober depan.
Kata Siti, ini merupakan kali kedua dia bekerjasama dengan tenaga kerja dan barisan-barisan artis yang lebih muda.
Walaupun ia sedikit berbeza dari acara sebelum ini, namun Siti kekal optimis dan komited untuk beraksi di Hausboom Music Festival nanti.
“Saya pun baru sahaja selesai konsert, jadi masih ada dua bulan untuk buat persiapan yang terbaik.
“Pada saya bagi festival seperti ini ia tidak perlukan banyak komitmen, ianya tidak seperti konsert solo.
“Kebetulan pula pada waktu itu jadual saya mengizinkan saya untuk bersama festival ini. Sebab itu saya terima.
“Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya bekerjasama dengan mereka, sebelum ini bersama Bulan Bintang. Kali ini sedikit berbeza sebab ia adalah sebuah muzik festival,” katanya.
Mengulas lanjut, pada Hausboom Music Festival nanti, pelantun lagu Aku Cinta Padamu ini akan mendendangkan lagu-lagu tradisionalnya atas permintaan pihak penganjur.
“Kalau ikut penganjur, mereka mahukan saya tampil dengan lagu-lagu tradisional,” ulasnya.

Ketika disoal mengenai penglibatannya sebagai penyanyi wanita solo yang turut beraksi bersama 31 lagi barisan artis ternama tanah air dan juga luar negara, Siti bagaimanapun menyifatkan pemilihannya adalah disebabkan kelebihan dari segi genre tradisional yang pernah dibawa.
“Alhamdulillah, mungkin disebabkan saya ada kelebihan dari segi genre tradisional, jadi itu menambahkan kepelbagaian muzik yang akan diberikan di dalam festival ini.
“Dan, itu tak bermakna saya sendiri, maksudnya saya hanya mewakili. Sebenarnya saya rasa mungkin ramai penyanyi lain yang mendapat permintaan tinggi juga.
“Apabila saya dan rakan-rakan artis senior lain dapat berkumpul dan sepentas di sebuah festival, ia menunjukkan artis masih mampu untuk menampilkan muzik mereka yang terbaik,” jelasnya.

Sekadar info, antara barisan artis yang bakal memeriahkan Hausboom Music Festival nanti adalah, Masdo, Joe Flizzow, ACAB, Yaph, Airliftz, 53 Universe, Wings, Bunkface, Senarionion, Parade Hujan dan The Changchuters.
Selain itu,Hausboom bakal menganjurkan Hausboom Lokal Fest, sebuah acara dimana terdapat 110 peniaga-peniaga lokal yang merangkumi 40 jenama streetwear lokal terkenal di Malaysia.
Tiket boleh dibeli dalam talian di https://sayalive.io/hbm2024 dan akan layak untuk memasuki Hausboom Music Festival 2024 dan Hausboom Lokal Fest 2024. Harga tiket bermula dari RM189 (kemasukkan umum), RM349 (rock zone) dan RM1,200 (VVIP).
Manakala tiket untuk Hausboom Lokal Fest 2024 akan tersedia pada 1 September 2024. Tiket boleh dibeli dalam talian di https://sayalive.io/hlf2024 dan hanya akan layak untuk memasuki Hausboom Lokal Fest 2024.








