Categories: AutomobileTECH

Lebih Banyak Laluan Khas Motosikal Perlu Dibina

Pembinaan lebih banyak laluan khas motosikal termasuk di jalan sedia ada, mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

Pengarah Penyelidikan dan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan berkata, kemudahan itu boleh dilaksanakan dengan menurap bahu jalan sedia ada.

”MIROS berpandangan pembinaan lorong motosikal tidak eksklusif ini dapat mengurangan kadar kemalangan, membabitkan kenderaan dua roda, di negara ini.

”Pelaksanaan cadangan secara strategik ke atas sistem jalan raya sedia ada ini tidak mustahil dilakukan, jika mempunyai bajet mencukupi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam temu bual khas bertajuk, Motosikal: Sumber Kemalangan Maut, di Bernama Radio di sini.

Berdasarkan statistik 2018, secara puratanya 18 kematian direkodkan sehari di seluruh negara, dengan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal.

Muhammad Marizwan berkata cadangan pembinaan laluan khas motosikal itu juga, bergantung kepada jumlah pengguna motosikal atau kadar kekerapan kemalangan di sesuatu kawasan, sebelum laluan berkenaan diwujudkan.

Mengenai cadangan mengehadkan kelajuan motosikal berkapasiti kecil kepada 70km/jam, beliau berkata pelaksanaan itu perlu dilaksanakan, selari dengan pembinaan laluan khas motosikal itu.

Ini kerana pembinaan laluan khas motosikal itu dapat membantu pihak berkuasa membuat pemantauan, terhadap undang-undang had laju.

Sebelum ini, ‘The Safety First Group’ iaitu kumpulan prokeselamatan jalan raya, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk motosikal ‘kapcai’, selain meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina, bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.

Sumber : Bernama

SGMS Enal