Categories: Tips

Dambakan Wajah Yang Mulus & Berseri? 10 Jenis Masker Semulajadi Ini Sangat Mudah & Jimat Dibuat Sendiri Di Rumah

“Cantiknya kulit wajah awak! Produk apa yang awak pakai…”

Kata-kata pujian sebegitu pasti anda suka kan? Iyalah, wanita memang suka dipuji lagi-lagi bab kecantikan diri mereka. Tetapi tidak semua wanita mempunyai kulit wajah yang ‘perfect’!

Dan pastinya pelbagai cara yang dilakukan untuk mendapatkan kulit wajah yang didambakan. Sama ada membeli produk-produk skincare mahupun membuat treatment kecantikan sehingga sanggup berhabis duit. 

Tidak semestinya anda perlu berhabis duit ya, anda juga boleh try cara tersendiri tau. Masker antara teknik yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan kulit wajah yang sentiasa putih, licin dan berseri. 

Ini antara tips untuk membuat masker menggunakan bahan-bahan semulajadi je, yang pasti selamat untuk kulit wajah anda!

1. Masker Mayonis

Mayonis bukan sahaja digunakan untuk sajian makanan anda tau, ia juga mempunyai khasiat yang tersendiri untuk merawat kulit wajah. Mudah sahaja, sediakan mayonis di dalam sebuah bekas kemudian sapu rata pada seluruh wajah. Biarkan selama 20 minit, kemudian cuci menggunakan air sejuk. Lakukan seminggu sekali untuk memiliki kulit wajah yang halus dan lembut.

2. Masker Madu

Rasanya yang manis dan terkenal dengan khasiat dalam kesihatan, madu juga memberi manfaat yang tersendiri untuk kecantikan kulit wajah. Jika anda inginkan kulit wajah dan bahagian leher lebih gebu, madu boleh membantu! Caranya adalah sapukan madu pada seluruh wajah dan leher, kemudian biarkan selama 15 minit sehingga ia kering. Selepas itu, cuci bersih wajah anda dengan air suam. Anda boleh mengamalkannya 3 kali seminggu bagi mendapatkan kulit wajah yang lembut dan putih gebu!

3. Masker Pisang

Pisang merupakan antara buah-buahan yang paling sedap dimakan! Bukan setakat sedap je tau, ia juga boleh dijadikan sebagai masker yang baik untuk kulit wajah anda. Lenyekkan sebiji pisang yang sudah ranum. Tambahkan sedikit madu lalu oleskan pada seluruh wajah dan biarkan selama 15 hingga 20 minit. Kemudian, cuci menggunakan air suam dan segarkan kemudian dengan air sejuk. Lakukan secara teratur dan konsisten, hasilnya kulit wajah wajah anda akan lembut dan bersih. Menariknya, masker ini juga membantu mengurangkan kedutan pada wajah. Masker pisang ini juga boleh merawat rambut agar lebih sihat.

4. Masker Limau Nipis

Limau nipis juga boleh digunakan untuk membuat masker, caranya ialah dengan mencuci bersih limau nipis. Kemudian, hiriskan limau nipis dan perah airnya untuk diminum. Kulit limau nipis jangan dibuang ya, anda boleh mengambil kulit tersebut dan usapkan pada seluruh wajah yang sudah bersih. Masker limau nipis ini berfungsi untuk mengurangkan masalah kulit wajah yang berminyak.

5. Masker Anggur

Potong buah anggur menjadi dua bahagian. Kemudian, oleskan potongan tersebut (ambil bahagian yang berair) pada seluruh wajah dan juga leher. Biarkan selama 15 hingga 10 minit sehingga kering dan cuci menggunakan air suam. Masker anggur ini berfungsi untuk menghilangkan kedutan pada wajah dan juga bahagian leher.

6. Masker Timun

Foto : Wanista

Anda boleh mengambil 1/2 timun, satu camca teh perahan lemon dan satu camca teh air perahan daun pudina. Masukkan semua bahan tersebut ke dalam mesin pengisar lalu kisar sehingga halus. Kemudian, masukkan ke dalam bekas bertutup kecil dan simpan di dalam peti sejuk selama 10 minit.

Keluarkan bekas tersebut dan sapu rata pada seluruh wajah. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air suam. Gunakan masker ini secara teratur sekali seminggu kerana ia berupaya menghilangkan kotoran pada wajah.

7. Masker Tomato

Foto : Organic Life

Masker tomato ini adalah baik pada anda yang mempunyai masalah kulit berminyak. Caranya dengan menghancurkan sebiji buah tomato dan sapu pada seluruh wajah. Biarkan selama 15 minit sehingga kering, kemudian cuci menggunakan air suam.

8. Masker Epal

Foto : Wanista

Ambil sebiji buah epal dan potong dadu lalu kisar sehingga lumat. Kemudian, tuangkan ke dalam botol kecil dan tambahkan sedikit madu. Kacau sehingga sebati dan simpan botol tersebut ke dalam peti sejuk selama 10 minit.

Selepas 10 minit, anda boleh sapukan masker epal ini pada seluruh wajah; biarkan selama 30 minit, dan cuci bersih menggunakan air. Masker ini membantu menyegarkan  dan mengurangkan minyak yang berlebihan pada wajah.

9. Masker Nenas

Foto: Daily Rakyat

Sediakan jus nenas dan campurkan dengan santan secukupnya ke dalam mangkuk kecil. Kacau sehingga sebati dan sapukan pada wajah dengan menggunakan kapas. Biarkan selama 20 minit dan cuci bersih dengan air. Masker nenas ini berfungsi untuk memelihara kulit wajah agar sentiasa lebih halus dan boleh memutihkan kulit wajah anda.

10. Masker Kentang

Foto : Almanac

Jika anda mengalami masalah lingkaran hitam bawah mata sebab kurang tidur, masker kentang ini boleh membantu anda. Ambil sebiji kentang yang telah dikupas kulitnya, kemudian parutkan kentang tersebut dan letakkan hasil parutan ke dalam kain kasa. Ikat kain kasa tersebut berbentuk bunjut dengan ukuran yang sesuai untuk diletakkan dibawah mata anda. 

Letakkan kain tersebut pada bahagian bawah mata anda, biarkan selama 15 hingga 20 minit. Elakkan rembesan air kentang terkena pada mata. Lakukan dengan kerap bagi mengurangkan lingkaran hitam pada bawah mata anda.

Semoga perkongsian tips ringkas ini dapat membantu anda untuk mendapatkan kulit wajah yang cantik dan berseri. Selamat mencuba!

Sumber: InTrend

tex_admin