Categories: Trending

12 Juta Picagari ‘Low Dead Volume’ Bakal Digunakan Untuk Suntikan Vaksin Covid-19

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantarannya di laman Facebook, sebanyak 12 juta picagari khas ‘Low Dead Volume’ (LDV) akan digunakan bagi setiap suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada fasa pertama yang dijangka bermula 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, picagari itu amat diperlukan kerana vaksin perlu disuntik dalam dos tertentu kepada setiap individu bagi memastikan keberkesanannya.

“Keperluan terhadap picagari ini amat penting supaya kita tidak melakukan pembaziran kerana ada sejumlah dos yang perlu kita gunakan,” katanya.

Picagari low dead-volume amnya merujuk kepada picagari sifar pembaziran, sekali gus memastikan penerima suntikan menerima keseluruhan dos vaksin yang diperlukannya.

Terdahulu, Dr Adham Baba berkata bekalan picagari itu dijangka diterima sebelum program vaksinasi Covid-19 bermula dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai kes Covid-19 di Malaysia, jangan lupa saksikan Buletin Utama, TV3.

 

Salma Syahbuddin