Trending By: Padin January 16, 2022 @ 5:41pm

“Ada Yang Sanggup Jemput Guna Jet Peribadi” – Tolak Tawaran Menyanyi di Filipina, Min Yasmin Jaga Sensitiviti

Membina nama di Filipina, penyanyi Min Yasmin, 33, berada di kelas tersendiri dan diterima oleh ramai peminat di negara terbabit.

Pernah mengadakan beberapa siri konsert yang mendapat sambutan meriah, kerjaya Min di Filipina agak perlahan dua tahun kebelakangan ini kerana wabak Covid-19.

Baru-baru ini, wanita dengan nama penuh Nurul Yasmin Abdul Aziz ini mendapat tawaran untuk mengadakan persembahan di sana.

“Sambutan di sana sangat memberangsangkan. Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur. Selain konsert, saya juga sering membuat persembahan di majlis-majlis eksklusif anjuran VIP dan ahli politik di sana.

“Dua tahun pandemik melanda, kerjaya saya agak terbatas di sana tetapi peminat masih ingat dengan saya. Beberapa bulan lalu, saya mendapat beberapa tawaran untuk membuat persembahan di Filipina dan ada yang sanggup menjemput saya di Sabah dengan menaiki jet peribadi.

“Namun saya tolak dengan baik kerana ingin menjaga sensitiviti. Saya boleh sahaja memohon untuk ke luar negara tetapi nanti apa kata orang. Untuk tidak memeningkan kepala, ada baiknya saya memberikan fokus di sini terlebih dahulu,” kata Min.

Tambah pelantun lagu Belum Lelah Setia ini, dia bakal mengadakan konsert Min Yasmin Live In Sandakan pada 11 dan 13 Mac ini di dua lokasi berbeza.

“Selepas dua tahun Covid-19, kini saya muncul dengan album berjudul Min Yasmin: World On A String. Album ini memuatkan lagu-lagu saya yang dirakam semula dengan susunan muzik ‘string’ secara langsung.

“Kalau sebelum ini saya selalu sibuk memenuhi permintaan di Filipina, sekarang saya mahu menghiburkan peminat di sini khususnya di negeri Sabah. Saya juga bakal mengadakan dua konsert di Sandakan.

“Pada 11 Mac, konsert bakal diadakan secara eksklusif di Sabah Hotel, Sandakan dan konsert terbuka pula bakal berlangsung di Tiong Hua Hall, Sandakan pada 13 Mac depan. Sejujurnya, saya sangat terkejut dengan sambutan yang diterima.

“Alhamdulillah, konsert solo yang diadakan secara tertutup di Sabah Hotel sudah habis terjual dan saya berbesar hati dengan sambutan yang diberikan. Pihak penganjur juga bersetuju untuk menambah lagi bilangan meja pada konsert terbabit.

“Saya sangat tak sabar dan Insya-Allah, saya akan menjayakan konsert ini dengan sehabis baik. Konsert yang menelan kos sekitar RM50,000 itu bakal mengikut segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Cahaya Mata Thu, 1 Dec 2022
Hiburan Sun, 26 Nov 2023
Featured Tue, 14 Sep 2021
Featured Wed, 24 Nov 2021

Romantiknya! Suami Bina Replika Taj Mahal Untuk Isteri Sebagai Simbol Cinta Di India

Seorang guru dari negeri Madhya Pradesh, India telah membina replika Taj Mahal untuk isteri sebagai simbol cintanya. Memetik laporan Dailymail, Anand Prakash Chouksey, 52, membina istana marmar seluas 929 meter persegi untuk isterinya, Manju Shah, […]