Categories: Trending

“Allah Lebih Sayangkan Umi” -Syamel Reda Pemergian Ibu Tersayang

Ibu kepada penyanyi Syamel, Wan Faaizah Karim, 55, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.09 malam tadi.

Perkara itu dikongsi Syamel menerusi hantaran di akaun Instagramnya.

“Allah lebih menyayangi umi. Umi saya, Wan Faaizah Karim telah kembali menghadap pencipta-Nya pada jam 10.09 malam tadi.

“Doakan urusan umi saya dipermudahkan. Terima kasih kerana mendoakan umi saya selama ini,” katanya.

Menurut Syamel, beliau reda dengan pemergian ibu tersayang setelah hampir dua bulan menerima rawatan di hospital akibat kekurangan oksigen dalam badan.

“Doktor dah cuba yang terbaik, Tapi bukan rezeki dia. Allah lebih sayangkan Umi. Syamel reda dengan pemergiannya.”

“Syamel tengah uruskan jenazah di hospital sebelum dibawa ke Surau berdekatan rumah kerana sekarang semuanya mengikut SOP.

“Insya-Allah, kalau tiada apa-apa tengah hari baru dikebumikan,” katanya.

Malah, Syamel juga sempat menitipkan doa agar Allah SWT mengampuni dosa dan berharap ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Ya Allah, ampunkanlah dosa umi ku. Kau perlihatkanlah syurga buat umi. Kau jadikanlah kuburnya seperti taman syurga. Kau terimalah segala amal baiknya di dunia ini untuk dijadikan teman di alam sana. 

“Kau terangilah cahaya di dalam kuburnya, sesungguhnya umi ku pergi meninggalkan seribu satu ajaran padaku yang akan aku amalkan hingga akhir hayat,” tulisnya.  

Terdahulu, Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius kerana ini adalah pertama kali Allahyarham dimasukkan ke wad sepanjang hidupnya.

Sumber: Instagram Syamel, Gempak.

Salma Syahbuddin