Categories: Trending

Boleh Keluarkan Pendahuluan KWSP Hingga RM60,000

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias, ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000, mereka mempunyai akses amaun pendahuluan sehingga RM9,000.

Manakala, bagi mereka yang mempunyai simpanan persaraan dalam Akaun 1 lebih dari RM90,000 maka akses pendahuluan akan diberikan sebanyak 10 peratus bagaimanapun, amaun simpanan yang boleh didahulukan adalah sebanyak RM60,000.

Dikreditkan secara berkala

Bagi amaun pendahuluan ini, ianya akan dikreditkan secara berkala sehingga 6 bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000 (bagi simpanan bawah RM90,000) ATAU, RM10,000 (bagi simpanan atas RM90,000).

Sumber : KWSP

KWSP memperkenalkan kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

“Jumlah yang diberikan itu perlu dibayar semula apabila mereka sudah mendapat pekerjaan dan mula kembali mencarum. Caruman baharu itu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan itu digantikan semula.

“Selepas itu caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,”  katanya.

Bagi pemohon yang ingin mengajukan soalan atau pertanyaan, bolehlah mendapatkan nasihat daripada Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Sumber : Berita Harian

Salma Syahbuddin