Categories: Trending

“Dapat Tersenarai Pun Saya Sangat Bersyukur” – Baru Bertapak Dalam Industri Hiburan, Aliff Iskandar Tercalon Top 5 ABPBH 34

Penyanyi dan komposer muda, Aliff Iskandar bersyukur kerana namanya lolos calon Top 5 Artis Baharu Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH 34).

Menurut artis naungan Indigital Music ini, dia tidak menyangka namanya berada sebaris dengan calon lain seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Dinie Rashid dan Fadh Majid.

ARTIKEL BERKAITAN: Positif Covid-19, Penyanyi Baru Aliff Iskandar Semakin Pulih

“Masih susah nak percaya saya tercalon Top 5 dalam kategori tersebut. Saya sangat bersyukur, Alhamdulillah. Saya baru sahaja bertapak dalam bidang nyanyian dan ini merupakan rezeki yang tak terduga.

“Terima kasih kepada peminat yang mengundi. Saya hanya mempromosikan pencalonan awal saya dalam kategori terbabit di laman sosial tapi tak sangka pula lolos Top 5. Dapat tersenarai pun dah membuatkan saya sangat bersyukur,” katanya.

Tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjulang trofi terbabit, Aliff yang popular dengan lagu Perit menjadikan pencalonan ini sebagai motivasi untuk berusaha dengan lebih kuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya Bakal Cikgu Kacak Ini Yang Menyanyikan OST Rahimah Tanpa Rahim!

“Saya tak letak sebarang impian untuk menang. Tercalon pun sudah besar impaknya, jadi saya jadikan ia sebagai salah satu motivasi untuk saya lebih berusaha gigih dalam dunia hiburan.

“Saya mahu menghargai mereka yang selalu menyokong dan saya enggan menghampakan peminat yang menjadi tulang belakang kerjaya saya,” katanya lagi.

Undian pusingan kedua ABPBH 34 sedang berlangsung sehingga 31 Oktober 2021 dan jangan lupa undi bintang kesayangan anda!

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama penaja utama, Xiaomi menerusi laman web ABPBH 34 di www.abpbh.com.my.

Bagi kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular, undian sudah pun bermula pada 4 Oktober lalu dan akan berakhir pada 7 November 2021 di laman aplikasi TikTok. Bagi peminat yang hendak menyertai #ABPBH34 kempen video TikTok, mereka boleh ikuti akaun TikTok TV3Malaysia dan XiaomiMalaysia.

Malam kemuncak ABPBH 34 yang dibawakan penaja utama, Xiaomi, akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 13 November 2021.

Bertemakan #KitaBersama, malam kemuncak ABPBH 34 akan dilaksanakan dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Acara ini boleh disaksikan secara langsung melalui saluran TV3 dan Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH, TikTok serta laman web ABPBH di www.abpbh.com.my.

Padin