Categories: Trending

Gaji Minimum Perlu Diperhalusi Lagi

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin meminta kerajaan memperhalusi lagi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menurut beliau, perkara itu perlu dipertimbangkan termasuk mengambil kira bebanan yang mungkin dihadapi segelintir syarikat atau usahawan kecil dan sederhana terutama yang baharu memulakan perniagaan.

“Saya harap kerajaan dapat memperhalusi pelaksanaan skim gaji minimum ini kerana kita tidak mahu melihat usahawan yang baharu mengembangkan perniagaan dan baharu berjinak-jinak di alam perniagaan terkesan kerana ia mungkin membebankan,” katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga berharap skim gaji minimum akan dilaksanakan dengan formula ‘win-win situation’ dan tidak terlalu menekan usahawan.

“Jika mereka ada 1,000 pekerja, mereka perlu bayar gaji minimum RM1,500 dan ini amat membebankan kerana bukan sahaja perlu bayar gaji pokok tetapi juga melihat penambahan caruman Perkeso dan KWSP,” katanya.

Menurut beliau, langkah ini akan menambahkan lagi cabaran bagi mereka untuk mematuhi arahan gaji minimum. Lebih-lebih lagi, dalam situasi negara baru membangunkan semula ekonominya selepas dua tahun berhadapan pandemik Covid-19.

Beliau turut menyerahkan perkara itu kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Kabinet kerajaan serta Kementerian Sumber Manusia sama ada pelaksanaan gaji minimum boleh ditangguhkan.

“Secara peribadi, saya mohon supaya mereka pertimbangkan dahulu perkara ini kerana bagi saya, kita hendaklah mengenal pasti apakah masalah pengusaha,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Fatin Nurain