Takut Akan Dibawa Ke Balai Polis Kerana Enggan Bayar Tambang, Remaja Perempuan Kelar Pemandu E-Hailing

Pemandu e-hailing mengalami kecederaan di leher selepas dikelar dengan pisau lipat oleh seorang remaja perempuan kerana enggan membayar tambang berjumlah RM400 dalam kejadian di Jalan Kovil Hilir, Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kejadian daripada lelaki berusia 63 tahun itu pada jam 2.55 pagi Rabu lalu.

Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati mangsa mengambil penumpang berusia 16 tahun di Sagil, Tangkak, Johor yang menggunakan aplikasi e-hailing.

“Sebaik tiba di destinasi di Jalan Kovil Hilir, mangsa meminta remaja itu membayar tambang yang dipersetujui berjumlah RM400.

“Namun remaja itu enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan untuk menghantarnya ke balai polis.

“Takut akan tindakan mangsa itu, suspek bertindak mengelar leher mangsa menggunakan pisau lipat lalu melarikan diri. Suspek meninggalkan pisau di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beh berkata, mangsa dalam keadaan cedera kemudiannya memandu ke Balai Polis Sentul meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Tindakan dan siasatan telah dilakukan, polis akhirnya berjaya menahan suspek di sebuah premis perniagaan di Jinjang, pada jam 4.55 petang semalam.

Tambah beliau, polis merampas telefon bimbit suspek dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat dan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir