“Keputusan Saya Untuk Pulang ke Malaysia Adalah Disebabkan…” – Kes Pelanggaran Kontrak Ben Amir Akhirnya Selesai

“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah lari dari tanggungjawab.”

Demikian kenyataan rasmi pelakon, Ben Amir, 32, yang dimuatnaik di Twitter berhubung kes saman pelanggaran kontrak yang membabitkan syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd semasa membintangi drama Demi di Inverness, Scotland pada awal Mac 2020.

Dalam kenyataan itu, Ben atau nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin berkata, keputusannya untuk pulang ke Malaysia adalah disebabkan faktor kesihatan dan keselamatan.

Pandemik ini tidak berpihak kepada siapa-siapa dan saya percaya kita berhak untuk membuat pilihan apabila berada di dalam keadaan sedemikian.

“Covid-19 akhirnya mengajar saya bahawa tiada siapa yang menang.

“Keputusan saya untuk pulang ke Malaysia adalah disebabkan faktor kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ben menegaskan bahawa isu tersebut sudah diselesaikan dengan cara baik.

“Dalam bulan yang penuh keberkataan ini, kedua-dua pihak sudah memilih untuk mengetepikan perbezaan dan kebanggaan kami. Satu kompromi sudah dicapai di antara kedua-dua pihak pada hari pertama kes itu seharusnya dibicarakan.

“Satu persetujuan sudah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

“Ia jelas bermaksud bahawa pihak mahkamah tidak membuat apa-apa penemuan bersalah terhadap saya.

“Oleh itu, saya menegaskan sekali lagi bahawa pertikaian itu sudah diselesaikan secara damai dan seperti yang sudah juga saya maklumkan di perkarangan mahkamah, ia diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Tambahnya lagi, Ben memaklumkan bahawa dia juga bersedia untuk bekerjasama lagi dengan pihak Elisa Vision Sdn Bhd jika diberi peluang.

“Saya tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap Elisa Vision. Sekiranya di dalam perjalanan karier kedua-dua pihak jalan kami bertembung sekali lagi, Insya-Allah, saya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Elisa Vision,” ujarnya.

Menurut laporan Harian Metro, Ben bersetuju membayar RM100,000 selaku defenden kepada Elisa Vision Sdn Bhd selaku plaintif.

Terdahulu, isu ini membabitkan Ben dan syarikat produksi itu bermula pada 27 Mac 2020 apabila dia didakwa pulang ke tanah air bersendirian meninggalkan semua kru produksi dan pelakon.

Tindakan yang dibuat dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri kerana dia tidak menghabiskan penggambaran drama berkenaan di Scotland.

Difahamkan juga, Ben enggan menyiapkan baki penggambaran drama itu di Malaysia dan tempatnya terpaksa diganti dengan pelakon lain dan produksi perlu menjalani penggambaran semula.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir