Categories: Trending

[VIDEO] Hariz Hamdan Pernah Terima ‘Gangguan’ Di Set Penggambaran – “Perempuan Ada, Lelaki Pun Ada”

Pelakon Hariz Hamdan, 21, menceritakan semula momen buruk menerima gangguan seksual ketika berada di set penggambaran.

Menurut pemilik nama Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, ia bukan sahaja dibuat oleh wanita tetapi lelaki juga turut berani untuk melakukan perkara terbabit menerusi gangguan secara lisan.

“Saya pernah lalui pengalaman menerima gangguan seksual set penggambaran, perempuan ada dan lelaki di juga ada. Setakat ini, gangguan yang dilakukan secara lisan.

“Ada yang secara terbuka gemar memuji tubuh saya dan lebih teruk, mereka minta melakukan perkara tidak senonoh dan pelik. Jadi untuk elak rasa kekok, saya anggap mereka bergurau.

“Tapi pada masa yang sama, saya elakkan diri untuk bertemu dengan mereka. Saya elak untuk terlalu rapat dengan pelaku supaya perkara terbabit tidak berlarutan dan saya pun tak mahu mereka ganggu lagi,” katanya kepada XTRA.

Dalam pada itu, pelakon Terlerai Noktah ini lebih suka untuk tidak mencampuri urusan peribadi orang lain ketika berada di set penggambaran.

“Saya dibayar untuk berlakon. Jadi ketika di set saya hanya memberi tumpuan untuk berlakon dan tak mahu ambil tahu urusan peribadi orang lain.

“Bukan bermaksud saya nak jadi kera sumbang, saya bertegur sapa dengan pelakon dan kru produksi lain tetapi kalau boleh saya nak elak untuk campur urusan peribadi orang kerana bagi saya, kerja adalah kerja. Kerjaya lakonan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Hariz ditemui usai acara larian Meta Time Trial Asics Malaysia yang berlangsung di Cyberjaya pada Ahad.

Menjadi wajah jenama Asics mewakili negara Malaysia, Hariz bergandingan dengan pelakon popular negara jiran, Pon Nawasch yang mewakili Thailand dan bintang-bintang lain.

“Saya bersama Pon dan bintang-bintang terkenal dari negara-negara Asia Tenggara lain seperti Filipina, Singapura dan Vietnam menjadi duta bagi jenama ini.

“Saya bangga dapat berdiri sebaris dengan mereka. Dalam acara ini, kami menamatkan larian 10 kilometer bersama hampir 3,000 peserta lain,” katanya lagi.

Padin