Categories: Trending

Ini Komen Khai Bahar & Aina Abdul Bila Ada Peminat Kurang Gemar Dengan Lagu Duet Mereka

Paduan suara penyanyi Khai Bahar dan Aina Abdul dalam sebuah lagu duet baharu, Nafas Cinta mendapat pelbagai respons peminat.

Ramai yang menggemari gandingan terbabit, tetapi ada juga peminat yang kurang berkenan dengan duet Khai dan Aina.

Malah, ada peminat membandingkan paduan suara mereka dengan lagu duet Khai sebelum ini bersama penyanyi Siti Nordiana.

Menerima segala komen dengan berlapang dada, Khai sedar dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Sejujurnya, saya menerima pandangan itu dengan hati terbuka. Saya sedar yang kami tidak boleh buatkan hati semua orang puas.

“Ada yang suka, ada yang tak suka, itu perkara normal. Sebelum ini, ramai sahaja penyanyi atau pelakon lain yang pernah berada dalam situasi sama. Apabila gandingan mereka digemari kerana keserasian, ramai yang harap mereka disatukan.

“Sehingga bila ada antara mereka yang bergandingan dengan selebriti lain, mereka kurang suka dan rasa tak sesuai. Semua orang ada pendapat, tak betul dan salah pun.

“Saya sendiri tak mahu ambil kisah dan hanya berusaha sehabis baik. Gandingan ini sekadar kerja dan saya harap dapat diterima orang ramai dengan positif,” kata Khai ketika sidang media virtual Nafas Cinta yang diadakan baru-baru ini.

Sebelum ini, gandingan Khai bersama penyanyi Siti Nordiana menerusi lagu dan drama Satukan Rasa menerima sambutan peminat sehingga ada yang berharap mereka menjalin hubungan cinta di dunia realiti.

Jelas Aina pula, dia berharap gandingan mereka dapat memberikan kelainan dan diterima peminat muzik.

“Sama seperti Khai, saya akui semua orang mempunyai pendapat tersendiri. Dengarkan Nafas Cinta kerana kami menampilkan kelainan dalam lagu ini.

“Sesi promosi lagu ini berjalan dengan lancar dan saya bersyukur kerana mendapat rakan duet seperti Khai. Kami tak menyimpan sebarang rasa antara satu sama lain dan gandingan kami atas dasar kerja.

“Saya harap lagu ini mendapat respons baik ramai dan diterima oleh peminat saya bersama Khai, Insya-Allah,” kata Aina pula.

Lagu Nafas Cinta boleh dilayari di semua platform digital dan video muzik boleh ditonton menerusi YouTube Aina Abdul.

Padin