Categories: Trending

Jenama fesyen Gucci, Prada, Ralph Lauren & Giorgio Armani batal pertunjukan fesyen gara-gara COVID-19

Penularan wabak virus COVID-19 sangat membimbangkan dan statistik terkini di seluruh dunia yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) menunjukkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 92,844 melibatkan 75 negara dengan 3,171 kematian dicatatkan setakat jam 8.00 pagi, 4 Mac.

Sehubungan itu, banyak acara terpaksa dibatal atau ditangguhkan, antaranya persidangan tahunan yang melibatkan organisasi besar seperti Adobe, Facebook dan Google. Acara tahunan Mobile World Congress di Barcelona juga dibatalkan apabila syarikat-syarikat seperti LG, Sony, Amazon dan ramai lagi menarik diri daripada acara itu.

Selain itu, siri jelajah promosi filem terbaharu James Bond No Time To Die serta penggambaran filem Mission: Impossible 7 turut ditangguhkan ekoran daripada penyebaran wabak COVID-19.

Industri fesyen dunia juga menerima tempias apabila banyak pertunjukan fesyen ditangguhkan serta dibatalkan.

Terbaru, jenama fesyen mewah antarabangsa Ralph Lauren membatalkan pertunjukan fesyennya yang dijadual berlangsung di New York, April ini.

Kredit gambar: Ralph Lauren

Menurut jurucakap syarikat itu, tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga serta satu inisiatif bagi mencegah penyebaran virus itu.

“Kami mengambil keputusan membatalkan pertunjukan musim luruh 2020 sebagai langkah berjaga-jaga serta bagi menghormati pekerja kami, rakan kongsi dan pengguna jenama ini.

“Keutamaan kami ialah keselamatan dan kesihatan mereka,” kata jurucakap itu lagi seperti dilaporkan portal berita WWD, pada Selasa.

Terdahulu, WWD melaporkan Lauren tidak menyertai Minggu Fesyen New York pada Februari dan memutuskan untuk mengadakan pertunjukan berasingan pada penghujung April.

Selain itu, jenama terkenal Gucci juga memutuskan untuk membatalkan Minggu Fesyen 2021 yang dijadualkan berlangsung di San Francisco pada 18 Mei depan. Jenama Prada turut membatalkan pertunjukannya di Tokyo pada 21 Mei.

Kredit gambar: Gucci

Jenama antarabangsa lain yang turut membatalkan pertunjukan fesyen mereka ialah Giorgio Armani, Mido dan Salone del Mobile di Mila, Cosmoprof Cosmoprof di Bologna, Watches & Wonders di Geneva dan Baselworld.

Bagaimanapun, jenama seperti Chanel, Dior dan Max Mara masih meneruskan acara fesyen masing-masing.

Ad Ops