Trending By: Syamir Shafie January 7, 2024 @ 10:47am

Kasihannya Adik…Baru Berusia 2 Tahun, Dah Kena Suntik Insulin 4 Kali Sehari Seumur Hidup Akibat Diabetes

Siapa sangka, seorang kanak-kanak perempuan, Innara Raissa Hennefar yang baru berusia dua tahun disahkan menghidap diabetes jenis satu pada April yang lalu.

Susulan itu, kanak-kanak itu terpaksa mengambil suntikan insulin sebanyak empat kali sehari.

Difahamkan, pada awalnya dia dilahirkan sihat, aktif dan periang namun takdir hidupnya menjadi gelap gelita setelah doktor memaklumkan penyakit yang dialaminya itu.

Memetik laporan Harian Metro, ibunya Norafizah Jamil memberitahu Innara yang masih kecil mempunyai perasaan takut dengan jarum dan dia perlu mengambil masa memujuk anak setiap kali mahu menyuntik insulin.

Sebagai ibu yang melahirkan Innara, dia sedih dan hatinya tidak tenang setiap kali ingin menyuntik insulin apabila anaknya mula merengek.

Norafizah bagaimanapun terpaksa tabah mengharungi dugaan Allah tersebut demi melihat anaknya kembali sembuh seperti dahulu kala.

“Bacaan paras gula anak memang tinggi sehingga lebih 20 malah pernah mencecah 30.

“Doktor beritahu penyakit anak berpunca kerana pankreasnya sudah tak menghasilkan insulin menyebabkan paras gulanya tinggi.

“Sejak itu anak perlu mengambil suntikan insulin empat kali sehari, tetapi biasalah kanak-kanak akan merengek.

“Saya perlu memujuknya hampir 30 minit sebelum dia bagi saya atau ayahnya cucuk insulin di perutnya,” luahnya.

Demi kesihatan Innara, Norafizah juga tidak pernah bosan dan patah semangat untuk mengambil hati anak kesayangannya itu supaya mahu disuntik.

“Biasanya saya cakap kalau nak makan roti kena cucuk nanti anak faham tetapi saya tak pernah jemu untuk pujuk dia dan saya juga tak mahu dia berasa tertekan kerana itu juga boleh buat gulanya tinggi selain dia perlu aktif dan ceria,” katanya.

Dalam pada itu, paling menyedihkan, Innara akan bergantung dengan suntikan insulin sepanjang hayatnya.

Namun demikian, dos insulin dapat dikurangkan jika Innara menjaga amalan pemakanan.

“Sedih juga apabila anak tengok orang makan aiskrim dan dia akan cakap dia tak boleh makan nanti kena cucuk.

“Saya perlu menjaga pola pemakanan dia setiap hari namun saya bagi juga dia merasa aiskrim dan kek sedikit,” ujarnya.

Sementara itu, Norafizah juga tidak putus berdoa dan berharap agar anaknya bebas daripada belenggu penyakit lantaran tidak sanggup melihatnya yang masih kecil sudah perlu mengambil insulin setiap hari.

Sumber : Harian Metro

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Tue, 16 Jan 2024