“Awkward & Malu Sedikit…” – Adam Lee Lebih Gembira Selepas Menikah

Pelakon Adam Lee yang baru sahaja menamatkan zaman bujang bersama aktres Sweet Qismina mendedahkan banyak perkara baharu yang dilaluinya setelah bergelar seorang suami.

Menurut Adam, kehidupannya selepas berumah tangga lebih gembira kerana kini ditemani oleh isteri tercinta.

Malah, Adam akui dia juga sedikit janggal dan malu ketika bersama Sweet setelah sah bergelar suami isteri dan harus tinggal sebumbung bersama.

“Bila dah satu rumah dia jadi macam something yang ‘kenapa Sweet kat sini?’. Dia jadi awkward dan malu sedikit.

“Biarpun dah empat tahun berkawan dan bercinta tetapi dia jadi benda yang baru bagi saya, ini jujur daripada hati dan bagi saya kahwin ini sangatlah seronok sebab kita dah ada family sendiri,” ujar Adam.

Adam ditemui XTRA sewaktu sesi fotografi drama Budak Tebing 3 di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Berkenaan cahaya mata, Adam menjelaskan buat masa ini dia belum merancang namun jika rezeki itu sampai, dia menerima dengan hati terbuka.

“Saya tak merancang. Kalau Allah S.W.T izinkan untuk saya dapat anak, dapatlah,” katanya.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Sweet pada 24 Oktober lalu.

Halimey Zamal