Didakwa Diberi Dadah Oleh Bapa Saudara, Kanak-Kanak Berusia 4 Tahun Terpaksa Ditidurkan

Kanak-kanak berusia dalam lingkungan empat tahun yang dilaporkan kritikal sejak semalam akhirnya terpaksa ditidurkan hari ini.

Ia berikutan keadaan badannya yang semakin lemah akibat kesan daripada dadah  jenis Methamphetamine yang terdapat dalam badan kanak-kanak terbabit.

“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

“Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.

“Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya.

Menurut ibu kanak-kanak terbabit, setakat ini, keadaan anak bongsu daripada tiga beradik itu menunjukkan tiada tanda positif dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan.

Malah, beliau memaklumkan anaknya itu adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan yang lambat dan baru sahaja dapat berjalan.

Terdahulu, kanak-kanak malang ini dilaporkan kritikal selepas dibawa ke suatu tempat oleh bapa saudaranya yang juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan pemeriksaan mendapati terdapat kandungan Methamphetamine dalam badan kanak-kanak terbabit.

Untuk makluman, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

ARTIKEL BERKAITAN:“Kenapa Biarkan Anak Tu Dengan..” – Dibawa Bapa Saudara Ke Suatu Tempat, Kanak-Kanak 4 Tahun Kritikal Disyaki Ada Dadah Dalam Badan

 

Sumber/ kredit foto: Harian Metro

Salma Syahbuddin