Kesal Isu Stesen LRT Laluan Kelana Jaya Ditutup Selama 7 Hari, Menteri Pengangkutan Jelas Perkara Sebenar

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong meluahkan rasa kesal dan kecewa ekoran penutupan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya selama tujuh hari bermula pagi Rabu, 9 November 2022.

Beliau memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang berlaku akibat penutupan LRT Laluan Kelana Jaya selama tujuh hari dan turut meminta Prasarana Malaysia Bhd untuk mengemas kini orang ramai secara berkala untuk memberikan maklumat.

Walaubagaimanapun, dia tegas dengan keputusan penutupan LRT Laluan Kelana Jaya itu bagi mengutamakan keselamatan pengguna dan tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Walaupun Prasarana di bawah Kementerian Kewangan namun pihak Kementerian Pengangukutan amat mengambil berat tentang keselamatan orang awam dan ia menjadi satu keutamaan untuk mengelakkan sesuatu insiden yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Tambahnya, beliau masih cuba mengenal pasti punca masalah yang menyebabkan kerosakan pada sistem isyarat sehingga mengakibatkan pelanggaran tren.

“Saya tidak mahu kita mengalami kemalangan kereta api sekali lagi,” katanya lagi.

Susulan itu, pakar dari Istanbul, Toronto dan juga Thales turut akan bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan dengan sistem kawalan kereta api automatik ini.

 

Sumber: The Edge Markets, OhBulan!

Dharnieya Nur Amelsa