Kongsi Momen Pernah Jejakkan Kaki Ke Kawasan Gempa Di Turkiye, Liza Hanim Titip Doa Buat Mangsa – “Rakyatnya Ramah & Tak Lekang Senyuman”

Dunia baru-baru ini ini digemparkan dengan bencana alam yang paling dahsyat apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud menggegarkan bumi Turkiye.

Terkini, media melaporkan angka kematian akibat gempa bumi dahsyat itu telah hampir mencecah 6,000 dan lebih puuhan ribu yang tercedera.

Turut bersimpati dengan kejadian tersebut, penyanyi Liza Hanim berkongsi momen pernah menjejakkan kaki ke salah satu bandar yang teruk terjejas dilanda gempa itu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Liza memuat naik sekeping foto yang memaparkan dia dan suami berswafoto di lapangan terbang wilayah tersebut.

“Kami berdua pernah diberi rezeki untuk menjejakkan kaki ke bumi Adana.

“Sangat tenang dan rakyatnya ramah dan tak lekang senyuman,” kongsi Liza berserta gambar.

Dalam pada itu, Liza turut menitipkan doa buat semua yang terlibat dalam bencana alam di wilayah yang terbabit.

“Kini Adana adalah salah satu kawasan Ground Zero gempa bumi dahsyat yang telah melanda Turkiye.

“Tiada upaya selain menghulurkan doa buat semua mangsa, semoga yang masih hidup berjaya diselamatkan segera, dan semoga yang telah pergi mendapat tempat di syurga firdausi.

“Semoga para penyelamat juga dilindungi serta diberi kekuatan luar biasa,” titipnya.

Terdahulu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah agar operasi mencari dan menyelamat serta usaha lain dapat dijalankan dengan pantas.

Khairil Khusyairi