Neelofa & Mira Filzah Simpati Nasib Jemaah Haji Terkandas – “Bukan Semua Orang Hidup Senang, Moga Ada Rezeki Dijemput Tahun Depan”

Nasib jemaah haji seramai 380 orang yang dilaporkan terkandas pada Jumaat bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga mangsa tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Insiden malang yang menimpa mereka sekaligus mendapat respon pelbagai dalam kalangan netizen yang rata-ratanya sedih dengan kejadian yang berlaku apatah lagi ada di antara mereka yang sanggup menggunakan duit simpanan masing-masing.

Malah, ada yang turut menggadai tanah semata-mata mahu menunaikan rukun Islam kelima ini.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] “Kasihannya Ibu, Ayah Berpuluh Tahun Simpan Duit” – Ditipu Agensi, Hampir 400 Bakal Jemaah Haji Terkandas Di KLIA

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Jemaah Haji Terkandas Dedah Perbualan Agensi Penipu.. Songlap Lebih RM14 Juta!

Justeru itu, pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor turut terkesan dengan nasib yang menimpa para jemaah.

Neelofa, 33, menerusi perkongsiannya di laman Facebook berharap agar segala urusan bakal jemaah yang terkandas dipermudahkan.

Dan berharap agar jemaah tersebut dikurniakan rezeki untuk dijemput menunaikan haji pada tahun akan datang.

“Sedih mendengar perkhabaran hampir 400 jemaah haji yang terkandas di KLIA.

“Semoga segala urusan mereka dipermudahkan dan mereka terus kuat semangat. Harapnya ada rezeki mereka semua dijemput di tahun akan datang,” tulisnya.

Sementara itu, antara rakan selebriti lain yang dilihat turut bersedih dengan berita duka ini adalah pelakon yang popular menerusi drama rantaian di TV3, Pujaan Hati Kanda, Mira Filzah.

Mira menerusi perkongsiannya di Instagram Story mengakui, hilang kata-kata dengan nasib kesemua jemaah yang ditipu oleh agensi mereka.

“Ada mak cik dan pak cik guna duit simpanan atau pencen yang sudah berpuluh tahun untuk pergi haji…. Agensi ini menipu?

“Saya hilang kata-kata. Tidak ingat Tuhan ke orang macam ini? Allahuakabar,” jelasnya.

Terdahulu, kegembiraan para jemaah haji bertukar mimpi ngeri selepas ditipu oleh agensi pelancongan mereka dengan menawarkan  visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH) selain membayar sebanyak RM16,000 hingga RM35,000 untuk pakej yang ditawarkan.

 

Sumber: Facebook, Instagram, BH

Salma Syahbuddin