“Sentuhan Ibu Tu Saya Tak Dapat Bagi Pada Anak” – Ayash Affan Genap Setahun, Shuib Masih Dalam Fasa Bangkit

Genap setahun usia cahaya mata bongsu kepada pasangan selebriti Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ayash Affan.

Melalui perkongsiannya di Instagram, Sabtu lalu merupakan tarikh puteranya dilahirkan.

“6 Ogos 2022 genap Ayash Affan setahun. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar,” tulisnya.

Menurut bekas penyampai radio Hot FM ini, dia masih dalam fasa bangkit kembali selepas kehilangan isteri tercinta.

“Biarlah saya yang mati dulu, sebab tak sanggup nak hadap. Tapi Allah Maha Dasyat, Maha Hebat.

“Kenapa Allah tak boleh belanja saya lagi 20 tahun, sebab saya dengan Arwah dah hampir 10 tahun. Saya terfikir, tak boleh belanja lagi ke 20 tahun.

“Tapi itulah, jalan cerita yang semua orang akan lalu, cuma saya cepat sikit lalui,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata ini turut meluahkan rasa bakal berhadapan dengan soalan yang akan diajukan anak bongsunya ‘di mana ibu saya’ pada suatu hari nanti.

“Kalau satu hari Ayash akan tanya. Di hari pemergian Sarah, saya dah terfikir soalan ni.

“Cuma sekarang saya kena buat yang terbaik buat anak-anak, education dan kehidupan anak-anak.

“Tipulah kalau saya boleh beri sentuhan seperti ibu, anak-anak lelaki saya perlukan sentuhan dari ibu. Saya tak boleh pakai tudung macam ibu dia. Itu saya kalahlah, semua saya boleh berikan, anything! Cuma part sentuhan ibu tu saya tak dapat bagi pada anak-anak,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, usahawan BubbleBee ini menitip ucapan buat anakanda bongsu tercinta.

“Semoga menjadi anak yang baik untuk keluarga dan dipelihara Allah SWT selalu. Aamiin,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Siti Sarah menghembus nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu akibat COVID-19 iaitu tiga hari selepas melahirkan anaknya, Ayyash Affan.

Selain Ayash, Allahyarham dan Shuib dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9 dan Ariq Matin, 7.

Sumber: Awani

Maya Basir