Categories: Kisah Viral

Sertai Maraton Dalam Persalinan Baju Melayu Bulan Bintang Lengkap Samping & Songkok, Pelari Malaysia Ini Berjaya Pecahkan Rekod Dunia

Pelari maraton terkenal tempatan, Edan Syah berjaya memecahkan rekod dunia menerusi acara TCS London Marathon yang berlangsung Ahad lalu.

Menerusi kemas kini Instagram, Edan atau nama sebenarnya, Mohd Syahidan Alias, 36, berjaya menamatkan maraton lengkap berbaju Melayu rekaan Bulan Bintang dengan catatan masa kurang tiga jam.

“Alhamdulilah, misi tercapai! Kita berjaya mencapai misi di bawah 3 jam sebagai Pemegang Rekod Dunia Guinness : Maraton Penuh Terpantas (42.2 kilometer) dalam Pakaian Tradisional Melayu (Lelaki) dengan catatan masa 2 jam 49 minit 22 saat!” tulisnya di Instagram.

Menjalin kerjasama dengan jenama baju Melayu terkenal itu, Edan mengucapkan terima kasih kepada jenama terbabit kerana menerima idea luar biasa untuk projek ini.

“Terima kasih sekali lagi kepada @bulanbintanghq @meripergibulat atas kepercayaan, peluang dan menerima idea “luar kotak” saya untuk projek ini. Anda semua berani mencipta penanda aras baharu, apa yang boleh dilakukan dan merealisasikan sesuatu yang mustahil,” tulisnya lagi.

Difahamkan, baju Melayu yang dipakai Edan direka khas menggunakan fabrik jersi dan mesh untuk impak ringan, ‘breathable’, ‘airy’ serta tidak membebankan serta reka bentuk samping bercetak yang dipakai jejaka itu mempunyai poket yang berfungsi untuk meletakkan gel tenaga dan botol air kecil.

Terdahulu, pada 2019, Edan berjaya melakar rekod dunia baharu bagi larian maraton terpantas dalam kategori kostum bendera negara dengan masa 2 jam, 54 minit di Sydney Marathon.

Sumber: Instagram Edan, Sinar Daily, The Vocket

Padin