“Soal Jaga Batas Ini Kalau Boleh…” – Tajul Elak Babak Bersentuhan Dengan Wanita

Penyanyi Tajul Ariff yang kini semakin aktif dalam dunia lakonan mengakui dia seboleh-bolehnya mahu mengelak untuk melakonkan babak bersentuhan demi menjaga hati isteri, Nurul Shamieza Eddie.

Menurut Tajul atau nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari, 24, dia akan memikirkan terlebih dahulu watak yang diterima supaya tidak keterlaluan dan menjaga batas sebelum menerima karakter tersebut.

Bukan kerana ‘takut’, namun Tajul ingin menjaga hati dan menghormati isteri yang turut menonton lakonannya.

“Soal jaga batas ini kalau boleh memang saya jaga sikitlah. Tapi misal kata pengarah minta, saya akan fikirkan dahulu sekejap.

“Mungkin kalau saya rasa boleh, saya akan buat. Tapi kalau saya sendiri tak selesa, saya tak buatlah.

“Sebab saya pun kena hormat isteri. Bukan takut tapi lebih kepada menghormati isteri. Sebab isteri saya pun tengok lakonan saya.

“Jadi, saya rasa tak best bila dia tengok dan terasa ke walaupun berlakon, mestilah ada sikit perasaan cemburu. Tipulah kalau perempuan tak ada rasa tu,” katanya kepada XTRA.

Dalam pada itu, Tajul turut memberitahu isterinya juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk berlakon asalkan dia tahu menjaga batas sebagai seorang suami.

“Isteri saya profesional. Dia tidak akan cakap dengan saya, tapi kita faham sendiri.

“Sebagai suami, kita kena tahu apa yang isteri kita suka dan tak suka. Isteri saya pun okay saja saya nak berlakon dengan mana-mana pelakon wanita.

“Asalkan saya pandai bawa diri dan jaga batas, Insya-Allah tak ada apa masalah. Saya pun tak pening, boleh kerja dengan tenang dan tak stres,” kata Tajul.

Tajul ditemui ketika majlis sidang media dan pra tonton drama siri IQIYI, Sorry Naik Lori di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Kumpur pada Rabu.

Untuk info, Tajul mendirikan rumah tangga sekitar empat tahun lalu dan telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adriana Carisa dan Adrian Rifqy.

Dharnieya Nur Amelsa