Tular Video Pelajar Jahanamkan Harta Sekolah, KPM Sudah Panggil Pelajar Bantu Siasatan

Kecoh di media sosial harini apabila dua rakaman video tular yang memaparkan tindakan sekumpulan pelajar sebuah sekolah merosakkan fasiliti dan peralatan sekolah.

Menerusi video yang tular itu, beberapa pelajar dilihat sedang merosakkan harta sekolah dengan mencampakkan kerusi ke lantai sehingga pecah.

Lebih dahsyat, mereka turut merosakkan kipas serta menendang pintu tandas sambil bergelak tawa tanpa rasa bersalah selepas sesi terakhir sekolah semalam.

Rata-rata netizen meluahkan rasa amarah dan menyelar tindakan pelajar berkenaan yang didakwa pelajar tahun akhir di sekolah berkenaan.

Terkini, memetik laporan media, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memaklumkan sudah mengenalpasti identiti sekumpulan pelajar tersebut yang didakwa bertindak merosakkan harta benda sekolah seperti yang tular di media sosial.

Menurut menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pelajar berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka.

Tambahnya, KPM tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan seperti ini.

“Pertama saya fikir tindakan daripada sekolah adalah memanggil anak-anak ini dan ibu bapa mereka untuk siasatan dan bimbingan serta kaunseling juga saya fikir penting kerana berdasarkan video tular itu saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku.

“Kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan jadi barangkali perlu ada bimbangan dan kaunseling perlu diberikan kepada anak-anak ini.

“Saya harap perkara ini tidak ditularkan kerana kita nak menjaga dan memelihara identiti anak- anak,” katanya.

Sumber: Awani

Khairil Khusyairi