Video Wanita Dibelasah Remaja Lelaki Undang Cemuhan Netizen

Tular di media sosial seorang wanita teruk dibelasah oleh seorang remaja lelaki sehingga mengundang cemuhan dalam kalangan netizen, semalam.

Video yang berdurasi 18 saat itu juga menunjukkan lelaki terbabit telah memukul, menendang dan melibas wanita tersebut bertubi-tubi menggunakan seliparnya.

Malah, kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah pusat membeli belah sekitar Kota Kinabalu tersebut turut memperlihatkan wanita itu menangis kesakitan akibat dipukul oleh lelaki berkenaan berkali-kali.

Menerusi video yang dikongsikan oleh selebriti terkenal Neelofa di Twitter, rata-rata warganet meluahkan rasa kurang senang dan marah terhadap kelakuan remaja lelaki berkenaan.

Hasil tinjauan di ruangan komen, ada beberapa pihak menyatakan kedua-dua individu yang bergelut itu merupakan pasangan adik-beradik.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah menyatakan pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai kesahihan kejadian tersebut berlaku di Kota Kinabalu.

Namun, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkaitan video yang tular itu dan meminta kerjasama semua pihak terbabit untuk tampil memberikan maklumat tentang kejadian tersebut.

Sumber: Twitter Neelofa & Harian Metro

Fatin Nurain